Banjir Balai Ringin: PPS Balai Raya Kampung Ensebang Padang Bilon Diaktifkan
BALAI RINGIN: Sebuah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) telah dibuka di Balai Raya Kampung Ensebang Padang Bilon pada jam 6 petang, pada Jumaat, bagi menempatkan penduduk yang terjejas akibat banjir susulan kenaikan paras air sungai yang melimpah dan menjejaskan beberapa kampung di sekitar kawasan Balai Ringin.
Setakat pembukaan PPS tersebut, seramai 54 orang mangsa daripada 21 Ketua Isi Rumah (KIR) telah dipindahkan ke pusat pemindahan berkenaan sebagai langkah keselamatan awal.
Mangsa banjir terdiri daripada penduduk enam kampung terjejas, iaitu Kampung Ensebang Padang Bilon, Kampung Karangan, Kampung Bayor, Kampung Gawang, Kampung Ensebang Jaya serta Kampung Ensebang Panchor Dayak.
Pengurusan dan pemantauan operasi PPS dilaksanakan secara bersepadu dengan penglibatan beberapa agensi keselamatan dan penyelamat termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), bagi memastikan aspek keselamatan, kebajikan serta kelancaran operasi pusat pemindahan sentiasa terjamin.
Pihak berkuasa daerah memaklumkan bahawa pemantauan rapi terhadap situasi banjir sedang dijalankan dari semasa ke semasa dan penduduk di kawasan rendah dan berisiko banjir turut dinasihatkan agar sentiasa berwaspada serta mematuhi sebarang arahan pemindahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa demi keselamatan diri dan keluarga. -EDISI UKAS