Kursus Pengurusan & Kawalan Penyakit Durian Perkukuh Produktiviti Pekebun Sarawak
KOTA SAMARAHAN: Penganjuran Kursus Pengurusan dan Kawalan Penyakit Tanaman Durian memperkukuhkan lagi produktiviti pekebun durian di Sarawak
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak merangkap Pengerusi Pertubuhan Peladang Negeri Sarawak (PPNS), Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, berkata aspek pengurusan ladang yang sistematik, penggunaan baja berkualiti serta racun perosak yang tepat merupakan elemen penting dalam meningkatkan keberhasilan tanaman durian, khususnya dalam menghadapi cabaran serangan penyakit yang semakin kompleks.
Menurut beliau, industri durian mempunyai potensi besar sebagai antara komoditi bernilai tinggi di Sarawak, justeru penguasaan ilmu teknikal oleh pekebun perlu dipertingkat secara berterusan agar hasil yang diperoleh lebih konsisten dan berkualiti.
“Dengan sokongan berterusan pihak FastGrow Fertilizer, diharap penggunaan baja yang berkualiti, racun yang sesuai serta ilmu pengurusan yang betul dapat membantu pekebun durian di Sarawak meningkatkan produktiviti tanaman dan mengurangkan risiko kerugian akibat serangan penyakit,” katanya semasa berucap dalam kursus berkenaan, di sini, pada Sabtu.
Beliau turut menjelaskan bahawa kursus seumpama ini bukan sahaja memberi pendedahan kepada kaedah kawalan penyakit yang berkesan, malah membantu pekebun memahami kepentingan amalan pertanian baik atau ‘Good Agricultural Practices’ (GAP) demi menjamin kelestarian sektor pertanian Sarawak.
Tambah beliau, peranan PPNS amat signifikan dalam membimbing pekebun melalui pemindahan teknologi, latihan berterusan serta kerjasama strategik bersama pihak swasta dan agensi berkaitan.
Sehubungan itu katanya, penyertaan dalam kursus ini amat penting kerana peserta akan didedahkan kepada kaedah penjagaan tanaman durian yang betul sepanjang tahun, merangkumi aspek pembajaan, kawalan penyakit, pengurusan ladang serta persediaan musim berbuah secara berperingkat dan berkesan.
Hadir sama, Pengarah Operasi dan Jualan MQH Resources Sdn Bhd Hamzah Hamid, wakil Bayer CS Malaysia Alex Sim dan Pengurus Besar PPNS Gom Raway. -EDISI UKAS