Empat Tanaman Strategik Pemacu Ekonomi Pengusaha Pertanian Sarawak Menjelang 2030
SARIKEI: Empat tanaman strategik dikenal pasti berpotensi menjadi pemacu utama peningkatan pendapatan pengusaha pertanian serta membuka peluang eksport Sarawak menjelang tahun 2030.
Setiausaha Tetap Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah (M-FICORD) Datu Sirai Daha berkata, tanaman kelapa, durian, nanas dan pisang dipilih berdasarkan potensi pasaran, permintaan industri serta kesesuaian iklim dan tanah di Sarawak.
Menurut beliau, peluasan tanaman kelapa daripada kira-kira 9,000 hektar kepada 20,000 hektar bukan sahaja bertujuan memenuhi keperluan makanan, malah mampu menyokong pembangunan industri hiliran seperti pemprosesan santan, minyak kelapa dan pelbagai produk nilai tambah.
“Begitu juga dengan durian, nanas dan pisang yang masing-masing disasarkan mencapai keluasan 20,000 hektar.
“Ini membuka ruang kepada petani kecil untuk terlibat secara lebih tersusun dan berdaya saing,” katanya ketika berucap pada majlis makan malam anjuran Persatuan Pembangunan Dayak Sarikei (GPDS) pada Jumaat.
Beliau menambah, kewujudan kilang pemprosesan nanas di Sibu serta pembinaan kilang baharu di Miri membuktikan komitmen kerajaan untuk menyediakan rantaian sokongan lengkap kepada pengeluar tempatan.
Menurutnya lagi, permintaan tinggi pisang dari Semenanjung Malaysia, khususnya pisang nipah yang mencecah 20 tan seminggu, dilihat sebagai peluang besar kepada petani luar bandar untuk menjana pendapatan tetap.
Namun demikian, Datu Sirai menegaskan kejayaan sektor pertanian tidak boleh digerakkan secara bersendirian.
Katanya, pendekatan pembangunan berkelompok perlu diamalkan bagi membolehkan penyediaan infrastruktur, khidmat teknikal serta pemasaran dilaksanakan dengan lebih berkesan.
Beliau menambah, usaha berkenaan selari dengan aspirasi Sarawak untuk muncul sebagai pengeksport makanan bersih, sekali gus memperkukuh keterjaminan makanan dan kesejahteraan rakyat negeri ini.-EDISI UKAS