PPS Dewan Suarah Ditutup, Situasi Banjir Samarahan Pulih
KOTA SAMARAHAN: Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Suarah di sini yang dibuka bagi menempatkan mangsa banjir ditutup sepenuhnya pada Ahad selepas keadaan di kawasan terjejas disahkan kembali selamat.
Penutupan PPS itu menandakan fasa pemulihan pasca banjir telah bermula apabila semua mangsa dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing untuk meneruskan kerja pembersihan dan pemulihan.
Pegawai Daerah Samarahan merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Samarahan, Ahmad Abdul Razak berkata keputusan tersebut dibuat selepas penilaian menyeluruh oleh agensi berkaitan.
Jelasnya, semua mangsa juga telah menyelesaikan kerja-kerja pembersihan di kediaman masing-masing sebelum dibenarkan pulang.
“Pemantauan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) mendapati keadaan semasa adalah selamat dan tiada lagi ancaman banjir di kawasan terjejas.
“PPS Dewan Suarah Kota Samarahan ditutup sepenuhnya pada jam 11 pagi selepas semua mangsa kembali ke rumah masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Ahad.
Sebelum ini, PPS tersebut menempatkan seramai 13 mangsa melibatkan tiga ketua isi rumah dari Kampung Plaie yang terjejas akibat banjir.
Kesemua mangsa telah dibenarkan pulang selepas keadaan di kawasan kediaman mereka disahkan selamat dan sesuai untuk diduduki.
Dalam pada itu, Ahmad Abdul Razak merakamkan penghargaan kepada semua agensi penyelamat dan pihak terlibat atas kerjasama sepanjang operasi pengurusan banjir di daerah Samarahan.
JPBD Samarahan akan terus melakukan pemantauan berkala di kawasan berisiko sebagai langkah kesiapsiagaan sekiranya berlaku perubahan cuaca atau peningkatan paras air.-EDISI UKAS