Kerajaan Sarawak Perkenal Program Bas Sekolah Percuma
KUCHING: Program Bas Sekolah Percuma dikenal pasti sebagai antara projek perintis Kerajaan Sarawak yang berpotensi mengurangkan kesesakan trafik khususnya pada waktu puncak di kawasan sekolah.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, projek itu telah dimulakan di Jalan Stapok dengan melibatkan dua sekolah yang sering berdepan masalah trafik, iaitu Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Chung Hua 6 dan Sekolah Kebangsaan (SK) Maong Hilir.
"Ini adalah satu projek yang digunakan bersama wakil rakyat di sini di mana ia menjadi projek perintis untuk mengurangkan jumlah kereta ketika waktu sekolah.
"Nampaknya mengikut statistik serta menggunakan sistem pengesanan, jumlah kenderaan yang menggunakan Jalan Stapok ini di mana terletaknya SJK Chung Hua 6 dan SK Maong Hilir, ada penurunan jumlah kenderaan yang digunakan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran & Perasmian Program Bas Sekolah Percuma Dan Bilik Darjah Pintar di SJK Chuang Hua 6, di sini pada Isnin.
Premier Sarawak menambah, keselamatan pelajar telah diambil kira sepenuhnya dengan sistem pengesanan yang telah diletakkan di dalam bas pintar tersebut termasuk alat berkomunikasi antara anak-anak dan ibu bapa.
Jelasnya, ibu bapa mempunyai alatan teknologi untuk memantau anak-anak mereka di dalam bas sekolah tersebut di samping menjimatkan kos pengangkutan untuk menghantar anak mereka ke sekolah masing-masing.
Justeru ujarnya, perkhidmatan akan terus diperluaskan di kawasan bandar terutamanya kawasan sekolah yang sering mengalami masalah trafik.
"Ini adalah satu pendekatan baharu yang dicuba dan nampaknya berjaya maka kami akan cuba luaskan dengan kerjasama masyarakat serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di mana kosnya ditanggung oleh kerajaan dari segi kos bus dan perkhidmatan," tambahnya.
Ditanya mengenai Program Bas Sekolah Percuma di bawah Yayasan Sarawak, Datuk Patinggi Abang Zohari membalas, program tersebut diteruskan dan akan ditambah baik kerana sering berdepan masalah tempat mengambil pelajar.
Jelasnya, projek perintis ini yang dilengkapi dengan teknologi untuk mengetahui jadual pergerakan akan diambil kira dalam usaha menambah baik program tersebut di bawah Yayasan Sarawak.
Hadir sama, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian, Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin, Pengerusi Lembaga Pengelola Sekolah Dato Jonathan Chai Voon Tok, Pengerusi Program Bas Sekolah Percuma See Chee How serta dif kehormat lain. -EDISI UKAS
Disediakan oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Syafiq Khir