Pendapatan Sarawak 2025 Diselaraskan Kepada RM13.5 Bilion
KUCHING: Pendapatan Kerajaan Sarawak bagi tahun 2025 telah diselaraskan kepada RM13.5 bilion susulan penutupan akaun kerajaan negeri pada 31 Disember lalu.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, jumlah tersebut adalah lebih tinggi berbanding angka RM13.01 bilion yang dibentangkan semasa pembentangan Belanjawan Sarawak 2026 dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak sebelum ini.
"Saya dalam bajet lepas menyebut sebanyak RM13.01 bilion sebagai hasil pendapatan Sarawak untuk tahun 2025.
"Namun, apabila akaun ditutup pada bulan Disember, hasil sebenar didapati bertambah di mana jumlah hasil negeri meningkat kepada RM13.5 bilion, menunjukkan terdapat penambahan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Dan Perasmian Program Bas Sekolah Percuma Dan Bilik Darjah Pintar di SJK Chuang Hua 6, di sini, pada Isnin.
Terdahulu dalam ucapan, Premier Sarawak memberitahu, penambahan ini memperkukuhkan pendapatan Sarawak lagi untuk membantu rakyat terutamanya pelajar-pelajar sekolah untuk meningkatkan akses kepada pembelajaran.
Beliau turut memberi jaminan untuk menambah peruntukan terhadap projek perintis Program Bas Percuma yang dijalankan di Jalan Stapok untuk diperluaskan lagi di kawasan sekolah-sekolah yang lain.
Justeru, beliau berharap politik Sarawak sentiasa kekal stabil untuk terus bekerjasama di samping terus berkongsi pendapatan yang ada demi kebaikan bersama.
"Kalau Sarawak kucar kacir, isu kecil pun boleh jadi besar disebabkan tiadanya kestabilan dalam politik sampaikan Program Bas Sekolah Percuma tidak dapat dijalankan.
"Orang Sarawak mesti jaga Sarawak barulah kita boleh mengurus negeri kita sendiri tanpa terlalu berharap dengan orang lain. Ia bermula dengan kita dan cara kita menguruskan ekonomi dan juga masyarakat kita," ujarnya.
Hadir sama, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian, Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin, Pengerusi Lembaga Pengelola Sekolah Dato Jonathan Chai Voon Tok, Pengerusi Program Bas Sekolah Percuma See Chee How serta dif kehormat lain. -EDISI UKAS
Disediakan oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Syafiq Khir