266 Pek Bantuan Makanan Kering Disalur Kepada Mangsa Banjir Di Pantu
PANTU: Sebanyak 266 pek bantuan makanan kering berjaya disalurkan kepada penduduk yang terjejas banjir di Daerah Pantu menerusi operasi penyaluran bantuan yang dilaksanakan dengan lancar pada Isnin.
Penyaluran bantuan tersebut melibatkan beberapa kawasan terjejas termasuk Jalan Munggu Ridan serta Jalan Isu, Gayau, Empaling dan Sapak, merangkumi rumah panjang dan penempatan penduduk yang terkesan akibat bencana banjir.
Di Jalan Munggu Ridan, agihan bantuan disalurkan kepada penduduk di Rumah Bonny, Sungai Mansau dan TR Miah, Munggu Ridan melibatkan 165 pek bantuan kepada Ketua Isi Rumah (KIR) dan Ahli Isi Rumah (AIR).
Sementara itu, di kawasan Jalan Isu, Gayau, Empaling dan Sapak, bantuan makanan kering diagihkan kepada penduduk di Rumah Kechil, Kampung Isu Entawa serta Rumah John Ade, Kampung Empaling, melibatkan 101 pek bantuan.
Operasi penyaluran bantuan ini dilaksanakan dengan kerjasama pelbagai agensi antaranya Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak, Jabatan Kebajikan Masyarakat serta Pejabat Daerah Pantu.
Beberapa kenderaan pacuan empat roda dan lori digunakan bagi memastikan bantuan dapat dihantar ke lokasi sasaran, khususnya di kawasan yang terjejas teruk dan sukar diakses, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memastikan kebajikan mangsa banjir terus terbela.-EDISI UKAS