Ibu Bapa Syukur, Sambut Baik Inisiatif TBS Ringankan Beban Persiapan Sekolah
KUCHING: Inisiatif kebajikan oleh Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) menerusi penganjuran Program Back To School dan Jelajah YKABarber mendapat sambutan amat menggalakkan daripada ibu bapa, khususnya dalam kalangan keluarga asnaf dengan bantuan diberikan bagi meringankan beban persiapan sesi persekolahan anak-anak.
Rata-rata ibu bapa penerima bantuan menyifatkan program tersebut sebagai tepat pada masanya, sekali gus membantu mengurangkan tekanan kewangan menjelang pembukaan sekolah.
Selain menerima beg dan kelengkapan sekolah, anak-anak turut menikmati perkhidmatan menggunting rambut percuma yang menceriakan persiapan mereka untuk kembali ke sekolah.
Seorang penerima bantuan, Jamayah Bujang, berkata bantuan berkenaan amat bermakna buat keluarganya yang mempunyai ramai anak masih bersekolah.
Menurutnya, kos persiapan sekolah yang semakin meningkat sering menjadi cabaran utama ibu bapa berpendapatan rendah.
“Bantuan ini sangat membantu kami sekeluarga. Sekurang-kurangnya perbelanjaan dapat dikurangkan dan anak-anak boleh ke sekolah dengan lebih kemas dan yakin,” katanya.
Bagi Puspawati, seorang ibu tunggal, program tersebut bukan sahaja meringankan beban kewangan, malah memberi sokongan moral kepada ibu bapa dan anak-anak menjelang sesi persekolahan baharu.
Dia menyifatkan keprihatinan TBS sebagai satu usaha yang wajar diteruskan demi kebajikan golongan memerlukan.
Sementara itu, Shairazi Sapiee turut merakamkan penghargaan terhadap usaha TBS yang disifatkannya berimpak besar kepada kesejahteraan keluarga asnaf.
Katanya, walaupun bantuan tidak merangkumi semua keperluan, ia sudah cukup membantu dan memberi semangat kepada anak-anak untuk memulakan persekolahan.
Dalam program yang berlangsung di Centre Court Majma Mall, Kompleks Islam Sarawak itu, seramai 128 orang anak-anak asnaf menerima sumbangan kelengkapan sekolah.
Secara keseluruhan, seramai 2,126 anak-anak asnaf di seluruh Sarawak telah menerima manfaat di bawah Program Back To School TBS, sekali gus membuktikan komitmen berterusan TBS dalam membantu meringankan beban ibu bapa dan memastikan anak-anak memulakan sesi persekolahan dengan lebih bersedia. — EDISI UKAS