Sektor Automotif Pemacu Baharu Pertumbuhan Ekonomi
MIRI: Sektor automotif dikenal pasti sebagai antara sektor berpotensi tinggi untuk diperkasakan dalam usaha merancakkan pertumbuhan ekonomi Sarawak, sekali gus menarik pelaburan strategik serta memperluas peluang pekerjaan berkemahiran tinggi.
Lantas, pembukaan rasmi Pusat Servis Maxcare Automobile di Piasau Industrial Estate menandakan satu lagi perkembangan positif dalam sektor automotif di Sarawak, sekali gus mencerminkan keyakinan pelabur terhadap potensi ekonomi tempatan, khususnya di Bandaraya Miri.
Kerabat Diraja Selangor Tengku Shamsulbhari Alhaj Tengku Bendahara Azman Shah Alhaj berkata, penubuhan Pusat Servis Maxcare Automobile bukan sahaja melambangkan keyakinan syarikat terhadap pertumbuhan ekonomi di Sarawak, malah menjadi bukti komitmen pengurusan dalam menyediakan perkhidmatan automotif yang berkualiti, profesional dan diyakini oleh masyarakat setempat.
“Saya percaya Pusat Servis Maxcare Automobile ini akan menjadi antara pusat servis rujukan utama di Miri Khususnya dalam menawarkan perkhidmatan yang sistematik, telus serta menggunakan teknologi terkini,” katanya semasa merasmikan pusst servis berkenaan pada Ahad.
Tengku Shamsulbhari turut berkata, kehadiran pusat servis ini juga dijangka dapat membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan, meningkatkan kemahiran tenaga kerja serta menyumbang secara langsung kepada pertumbuhan ekonomi setempat.
Dalam pada itu, beliau berharap agar Maxcare Automobile dapat terus memperkukuh kerjasama strategik bersama kerajaan negeri, agensi berkaitan serta komuniti setempat bagi memastikan pembangunan industri automotif di Sarawak dapat dilaksanakan secara mampan dan berdaya saing.
Turut hadir ke majlis ini ialah Datuk Bandar Bandaraya Miri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut Adam Yii Siew Sang, Tengku Zubaidah Tengku Mohammad serta Pengarah Pusat Servis Maxcare Automobile Lai Kon Khian.-EDISI UKAS