Kempen Derma Darah Perkukuh Kesukarelawanan, Sokong Keperluan Hospital Miri
MIRI: Usaha bersepadu pertubuhan masyarakat setempat dalam memastikan bekalan darah yang mencukupi terus diperkukuh menerusi penganjuran Blood Donation Campaign di GCM Miri Cempaka Hall, di sini, pada Ahad.
Kempen yang berlangsung dari jam 9.30 pagi itu dianjurkan oleh Kelab Gymkhana Miri dengan kerjasama Persatuan Prihatin Masyarakat Miri, Kaying Community Association dan Miri Badminton Association, berjaya menarik penyertaan menggalakkan daripada masyarakat setempat.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan (Pelancongan) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew berkata, inisiatif seumpama ini amat penting bagi memastikan Hospital Miri sentiasa mempunyai bekalan darah yang mencukupi, khususnya dalam menghadapi situasi kecemasan.
“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua penderma darah yang sanggup meluangkan masa untuk hadir dan menderma pada hari ini. Sumbangan anda amat bermakna dan mampu menyelamatkan nyawa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika hadir memberi sokongan kepada kempen berkenaan yang turut melibatkan kerjasama Tabung Darah Hospital Miri dan Persatuan Bulan Sabit Merah Miri, dengan sasaran mengumpul sekurang-kurangnya 60 paket darah.
Menurut beliau, keperluan bekalan darah dijangka meningkat menjelang musim perayaan Tahun Baharu Cina dan Hari Raya, justeru masyarakat diseru agar terus tampil menderma sebagai langkah persediaan awal.
Sebagai tanda penghargaan, pihak penganjur menyediakan insentif kepada para penderma dengan 30 penderma terawal menerima satu pek beras lima kilogram serta goodies bag, manakala penderma lain yang berjaya menderma turut menerima satu pek beras satu kilogram dan goodies bag.
Kempen ini turut mendapat sokongan penaja daripada Hock Hiang Hui Trading Sdn Bhd serta Puma Sera Restaurant Malaysia & Indonesian Food, sekali gus mencerminkan komitmen sektor swasta dalam menyokong agenda kesihatan dan kebajikan masyarakat di kawasan Piasau dan Miri amnya.-EDISI UKAS