SADONG JAYA: Tokong Jemukan menerima peruntukan berjumlah RM600,000 daripada Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) bagi tujuan pembangunan dan naik taraf rumah ibadat tersebut.
Timbalan Menteri Insfrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sadong Jaya Datuk Ir Aidel Lariwoo telah menyempurnakan penyerahan peruntukan berkenaan dalam satu majlis yang diadakan di tokong berkenaan pada Ahad.
Dalam ucapannya, Datuk Ir. Aidel menegaskan agar dana yang disalurkan digunakan sebaik mungkin bagi melaksanakan pelbagai projek pembangunan serta penambahbaikan kemudahan rumah ibadat demi keselesaan penganut.
Menurut beliau, pemberian bantuan UNIFOR ini membuktikan komitmen dan keprihatinan Kerajaan Sarawak dalam menjaga kebajikan rumah-rumah ibadat bukan Islam, selaras dengan agenda kerajaan untuk memastikan pembangunan seimbang merangkumi semua lapisan masyarakat.
Beliau turut mengingatkan semua kaum dan penganut agama di negeri ini agar sentiasa mengutamakan perpaduan serta menghormati sensitiviti antara agama bagi memastikan keharmonian masyarakat berbilang kaum terus terpelihara.
“Adalah penting untuk kita terus memupuk sikap saling menghormati dan bekerjasama demi menjaga perpaduan yang telah terjalin sekian lama di Sarawak,” katanya.
Turut hadir dalam majlis tersebut Pemanca Asajaya/Sadong Jaya Sholeh Kemis, Penghulu Teo Thuan Theng, Setiausaha Sulit kepada Datuk Aidel Salem Benga, Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) Sadong dan pemimpin masyarakat Cina Sadong Jaya.-EDISI UKAS