KOTA SAMARAHAN: Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) menegaskan komitmen memastikan penganjuran Bazar Ramadan 2026 dilaksanakan secara teratur, berintegriti serta mematuhi semua peraturan yang ditetapkan demi menjaga kepentingan awam dan imej pihak berkuasa tempatan.
Pengerusi Perbandaran MPKS Kaunselor Abang Ismawi Abang Ali berkata, penguatkuasaan terhadap aspek kebersihan, keselamatan, kesihatan dan pematuhan prosedur kewangan akan diberi penekanan sepanjang tempoh penganjuran bazar.
Menurut beliau, penganjuran bazar bukan sekadar aktiviti ekonomi bermusim, sebaliknya mencerminkan tahap disiplin serta kebertanggungjawaban komuniti setempat terhadap peraturan dan garis panduan yang ditetapkan.
“Penganjuran Bazar Ramadan ini bukan sekadar aktiviti ekonomi, tetapi turut mencerminkan imej dan tahap disiplin komuniti setempat.
“Oleh itu, semua pihak perlu bekerjasama memastikan bazar berjalan dengan teratur dan selamat,” katanya dalam sidang media di Perpustakaan Awam MPKS, pada Isnin.
Abang Ismawi memaklumkan, untuk tahun ini, Bazar Ramadan Samarahan akan berlangsung sepanjang bulan Ramadan dan melibatkan empat zon utama, iaitu Zon Stakan, Zon Muara Tuang, Zon Asajaya serta Zon Sadong Jaya.
Jelasnya, bagi tujuan pengurusan dan penyelenggaraan bazar, MPKS menetapkan caj sebanyak RM160 bagi setiap tapak yang merangkumi caj tapak (RM100), caj pemprosesan (RM5), caj perkhidmatan pungutan sampah (RM50) serta bayaran pelekat (RM5).
Menurut beliau, caj tersebut dikenakan secara seragam tanpa sebarang pengecualian kepada semua kategori pemohon termasuk individu, Kawasan Rukun Tetangga (KRT), masjid atau surau.
“Kutipan ini bertujuan menampung kos pengurusan, kebersihan kawasan serta penyediaan kemudahan asas sepanjang tempoh penganjuran bazar,” ujarnya.
Sehubungan itu, Abang Ismawi berkata, semua peniaga yang berminat diminta mengemukakan permohonan permit selewat-lewatnya seminggu sebelum tarikh bermulanya Bazar Ramadan, bagi memastikan proses kelulusan, penyelarasan tapak serta pematuhan syarat dapat dilaksanakan dengan lancar.
Selain itu, beliau berkata, persatuan penganjur atau pemohon bertanggungjawab sepenuhnya dalam menjaga kebersihan kawasan bazar, termasuk memastikan kawasan sentiasa bersih dan teratur sepanjang tempoh operasi.
Meurutnya lagi, pemohon juga perlu menyediakan sendiri kemudahan utiliti seperti bekalan air dan elektrik, di samping menyediakan tong sampah serta plastik beg sampah bagi memastikan pengurusan sisa dilaksanakan secara berkesan dan mematuhi piawaian kebersihan yang ditetapkan.
Dalam pada itu, beliau turut menegaskan bahawa pematuhan terhadap Peraturan Kesihatan, Halal dan Kawalan Harga akan dikuatkuasakan sepanjang penganjuran bazar termasuk pemeriksaan kesihatan peniaga seperti suntikan Anti-Tifoid, taklimat kawalan harga oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDN) serta pematuhan halal oleh Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) kepada persatuan atau pemohon terlibat.
Tambahnya, kutipan caj secara resit atau bayaran tunai adalah tidak dibenarkan, selaras dengan prosedur kewangan yang telah ditetapkan.
Tempoh permohonan dibuka mulai 12 hingga 31 Januari 2026, manakala bazar akan beroperasi setiap hari bermula jam 2 petang hingga jam 8 malam.
Turut hadir pada sidang media tersebut ialah Timbalan Pengerusi Perbandaran MPKS Kaunselor Daily Joseph dan Setiausaha Perbandaran MPKS Gustian Durani.-EDISI UKAS