Perkhidmatan Bergerak SUPP Piasau Permudah Akses Bantuan Kebajikan Rakyat
MIRI: Usaha mendekati rakyat dan mempermudah akses kepada bantuan kebajikan kerajaan Sarawak terus diperkasakan menerusi pelaksanaan Perkhidmatan Bergerak SUPP Piasau yang berjaya membantu memproses 33 permohonan pelbagai skim bantuan dalam tempoh dua jam.
Program anjuran Pasukan Perkhidmatan Bergerak SUPP Piasau yang diadakan di Old Man Street (Persiaran Kabor), di sini pada Ahad, dilihat sebagai pendekatan berkesan bagi memastikan rakyat, khususnya mereka yang berdepan kekangan teknikal dan prosedur, tidak tercicir daripada menikmati bantuan yang disediakan kerajaan negeri.
Perkhidmatan tersebut diketuai Setiausaha Organisasi SUPP Piasau, Kaunselor Tan Lek Jin, bersama Setiausaha SUPP Piasau Kaunselor Kelvin Chia Kah Leong, Kapitan Aries Leong Chin Lim, Kapitan Chan Chai Ping, Kaunselor Lisa Yu serta anggota pasukan perkhidmatan yang lain.
Sepanjang program berkenaan, pasukan terbabit memberikan bimbingan secara bersemuka dan individu kepada orang awam, merangkumi bantuan mengisi borang, penerangan prosedur permohonan serta khidmat sehenti bagi urusan kebajikan.
Menurut Tan Lek Jin, antara permohonan yang berjaya diproses termasuk dua permohonan Kenyalang Gold Card (KGC), 26 permohonan Skim Bantuan Kesihatan Sarawak (SCHB), dua permohonan Swk ID, dua pendaftaran SPay serta satu aduan awam.
“Kami menyedari masih ramai rakyat yang menghadapi kesukaran dari segi teknikal dan pemahaman prosedur. Melalui perkhidmatan bergerak ini, kesulitan tersebut dapat dikurangkan supaya mereka menerima bantuan yang sewajarnya dengan lebih cepat dan berkesan,” katanya.
Beliau menambah, inisiatif perkhidmatan komuniti seumpama itu dilaksanakan secara mingguan bagi meningkatkan tahap kesedaran rakyat terhadap skim bantuan kebajikan sedia ada, selain memastikan proses permohonan dapat diselesaikan dengan lebih menyeluruh.
Katanya lagi, SUPP Piasau akan terus turun padang untuk mendengar suara rakyat dan membantu menyelesaikan isu sebenar yang dihadapi komuniti, selaras dengan komitmen mendekati masyarakat serta menjaga kebajikan golongan yang memerlukan.
Dalam program tersebut, pasukan perkhidmatan turut mengedarkan kalendar 2026 terbitan Timbalan Menteri Pelancongan Sarawak, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew kepada orang awam yang hadir sebagai tanda sokongan dan penghargaan kepada komuniti setempat.-EDISI UKAS