Morshidi Fredrick Dilantik SUT MTCP Sarawak Yang Baharu
KUCHING: Morshidi Fredrick dilantik sebagai Setiausaha Tetap (SUT) Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP) yang baharu berkuat kuasa hari ini.
Majlis penyerahan dokumen tugas rasmi daripada bekas SUT MTCP, Datu Sherrina Hussaini kepada Morshidi menandakan kesinambungan kepimpinan pentadbiran kementerian berkenaan.
Sebelum ini, Morshidi berkhidmat sebagai SUT Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak (MYSED) hampir empat tahun dengan rekod pengurusan program pembangunan belia, sukan dan keusahawanan yang konsisten.
Majlis itu turut disaksikan oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Menurut Dato Sri Abdul Karim, sesi serah tugas tersebut diadakan bagi memastikan peralihan kepimpinan berjalan lancar serta menjamin kelangsungan pelaksanaan dasar dan program strategik MTCP, khususnya dalam memperkasa sektor pelancongan, industri kreatif dan seni persembahan negeri.-EDISI UKAS