JKKK Kampung Senadin Jaya Teras Kepimpinan Akar Umbi, Peranan Kritikal Hadapi Bencana
MIRI: Peranan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) sebagai tulang belakang kepimpinan komuniti di peringkat akar umbi terus diiktiraf apabila JKKK Kampung Senadin Jaya diraikan dalam Majlis Apresiasi JKKK Kampung Senadin Jaya 2025 yang berlangsung di Dynasty Hotel, pada Ahad.
Majlis berkenaan menjadi platform penghargaan kepada Pengerusi serta Ahli JKKK sesi 2024–2025 atas dedikasi dan sumbangan berterusan mereka dalam memastikan kesejahteraan, keselamatan serta keharmonian komuniti setempat, khususnya ketika berdepan situasi mencabar.
Dalam ucapannnya, Temenggung Abang Mohamed Datuk Seri Abang Othman yang mewakili Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, JKKK bukan sahaja berperanan dalam urusan pentadbiran kampung, malah menjadi penghubung utama antara penduduk dan pihak berkuasa, terutama dalam situasi kecemasan dan bencana alam.
“Miri baru-baru ini berdepan hujan lebat berterusan sehingga menyebabkan banjir di beberapa kawasan rendah. Dalam keadaan ini, JKKK adalah antara pihak terawal berada di lapangan, membantu pemindahan penduduk, menyampaikan maklumat serta menenangkan komuniti,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa perubahan iklim global menjadikan kejadian banjir kilat dan bencana cuaca semakin kerap berlaku, sekali gus meningkatkan keperluan terhadap kesiapsiagaan komuniti dan peranan strategik JKKK sebagai barisan hadapan keselamatan rakyat.
Dalam ucapan sama, beberapa projek tebatan banjir utama di Miri turut dikongsikan sebagai sebahagian daripada usaha jangka sederhana dan panjang kerajaan bagi menangani isu kebanjiran secara menyeluruh.
Antaranya ialah Projek Rancangan Tebatan Banjir Sungai Miri, Lembangan Sungai Miri yang kini mencatat kemajuan fizikal sebanyak 71.53 peratus.
Selain itu, Projek Rancangan Tebatan Banjir Miri Fasa 2 yang akan dilaksanakan melalui proses tender dijangka memberi manfaat kepada kawasan berisiko seperti Kampung Sungai Dalam, Kampung Lambir, Kampung Lusut, Taman Tunku, Taman Lopeng Baru dan Kampung Pujut Tanjong Batu.
Turut dirancang ialah Projek Rancangan Tebatan Banjir Sungai Lutong B yang juga akan dibawa untuk tender, dengan manfaat kepada kawasan sekitar Sekolah Kebangsaan Lutong, Kampung Sealine, Kampung Senadin Jaya/MCOT serta Desa Senadin.
Majlis tersebut diserikan dengan penyampaian sijil penghargaan kepada ahli JKKK sebagai simbol pengiktirafan terhadap komitmen mereka yang sanggup berkhidmat tanpa mengira masa dan keadaan demi kepentingan masyarakat setempat.-EDISI UKAS