Kerabat DiRaja Selangor Serikan Majlis Makan Malam Maxcare Automobile Miri
MIRI: Majlis Makan Malam Maxcare Automobile (Miri) Sarawak berlangsung meriah dan eksklusif dengan kehadiran kira-kira 200 tetamu terdiri daripada kenamaan, rakan strategik serta jemputan khas.
Majlis anjuran Maxcare Automobile itu diserikan dengan keberangkatan Kerabat DiRaja Selangor, Tengku Shamsulbhari Alhaj Tengku Bendahara Azman Shah Alhaj serta Yang Mulia Tengku Zubaidah Tengku Mohammad.
Turut hadir Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan I (Pelancongan) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew, Datuk Bandar Bandaraya Miri merangkap ADUN Pujut, Adam Yii Siew Sang, serta Pengarah Pusat Servis Maxcare Automobile, Lai Kon Khian.
Dalam temubual bersama media, Yang Mulia Tengku Shamsulbhari menzahirkan rasa syukur kerana berpeluang menghadiri Majlis Perasmian Pembukaan Pusat Servis Maxcare Automobile yang berlangsung pada sebelah pagi sebelum majlis makan malam tersebut.
Menurut baginda, Miri kini merupakan sebuah bandar raya yang pesat membangun serta mempunyai potensi besar dalam menarik pelaburan dari dalam dan luar negara.
Baginda turut berkongsi bahawa ini merupakan lawatan pertama ke Miri di mana sebelum ini lebih kerap berkunjung ke Kuching.
Mengulas potensi masa depan, baginda melihat banyak peluang pelaburan di Miri khususnya dalam sektor automotif dan perniagaan lain, serta tidak menolak kemungkinan membawa pelabur dari Semenanjung ke Sarawak pada masa akan datang.-EDISI UKAS