Dato Sri Roland Sagah Tinjau Keadaan Mangsa Banjir di PPS SK Tanah Putih
SERIAN: Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tarat Dato Sri Roland Sagah Wee Inn turun padang meninjau keadaan mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Tanah Putih, di sini, pada Ahad.
Lawatan tersebut dilakukan pada hari ketiga kejadian banjir sejurus beliau menerima makluman pembukaan PPS berkenaan seawal jam 7.30 pagi bagi menempatkan penduduk Kampung Tanah Putih yang terpaksa meninggalkan kediaman masing-masing akibat dinaiki air.
Menurut Dato Sri Roland Sagah, lawatan itu bertujuan mendapatkan gambaran sebenar situasi di lapangan selain memastikan semua mangsa banjir menerima bantuan dan perhatian sewajarnya, khususnya dari segi keselamatan, bekalan makanan serta kemudahan asas.
“Keutamaan kita adalah kebajikan mangsa. Saya mahu memastikan mereka berada dalam keadaan selamat dan selesa sepanjang berada di PPS,” katanya.
Sehingga jam 8 malam tadi, seramai 105 Ketua Isi Rumah (KIR) melibatkan 370 orang mangsa telah dipindahkan ke PPS SK Tanah Putih, dengan pemantauan dan bantuan terus dipergiatkan oleh pihak berkuasa serta agensi berkaitan.
Untuk rekod, Dato Sri Roland Sagah sebelum ini telah mengadakan lawatan ke beberapa PPS lain di kawasan DUN Tarat pada Jumaat dan Sabtu lalu, sekali gus membuktikan komitmen berterusan beliau dalam memastikan kebajikan rakyat sentiasa terbela ketika berdepan situasi bencana.
Turut hadir melawat ke PPS SK Tanah Putih ialah Residen Bahagian Serian merangkap Pengerusi Jawatankuasa Bencana Bahagian Serian Caroline Cleophas Joseph, Pegawai Daerah Serian merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Serian Enting Nyami dan Setiausaha Politik Kepada Premier Sarawak Damen Rejek.-EDISI UKAS