Program Gunting Rambut Percuma ‘Back to School’ Dapat Sambutan Menggalakkan
LAWAS: Kerjasama pelbagai pihak berjaya menjayakan Program Gunting Rambut Percuma ‘Back to School’ sempena pembukaan sesi persekolahan tahun 2026, sekali gus memberi peluang kepada murid-murid tampil lebih kemas dan berketerampilan sebelum memulakan sesi akademik baharu.
Penganjuran program itu adalah hasil kerjasama kolaboratif di antara CENTEXS Lawas, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Lawas, Persatuan Guru Besar Malaysia Cawangan Lawas serta Pusat Khidmat DUN Bukit Sari.
Pegawai PPD Lawas, Pengiran Kadir Pengiran Budin berkata, program tersebut menerima sambutan yang amat menggalakkan apabila penyertaan murid melebihi sasaran awal seramai 100 orang.
“Program ini bertujuan dalam membantu mengurangkan bebanan kewangan ibu bapa, khususnya menjelang sesi persekolahan.
"Berdasarkan data pendaftaran yang dikumpul, terdapat ibu bapa yang menghantar sehingga empat orang anak untuk menyertai program ini, sekali gus mencerminkan keperluan serta keterlibatan tinggi dalam kalangan masyarakat setempat," katanya semasa Program Gunting Rambut Percuma, di sini pada Ahad.
Sementara itu, Oliver Peru Mota, 42, menyambut baik penganjuran program berkenaan kerana ia membantu meringankan beban keluarga dan memudahkan urusan persekolahan anak-anak.
“Baguslah program ini diadakan kerana dapat meringankan beban. Di kedai gunting rambut, ada yang tidak menerima kanak-kanak, jadi program seperti ini sangat memudahkan kami,” katanya.
Pelajar Professional Diploma in Hair and Makeup di CENTEXS Lawas, Beatrice Silit, 21, pula berkata, penglibatan dalam program tersebut memberi peluang berharga kepada pelajar untuk mengasah kemahiran serta menimba pengalaman praktikal dalam situasi sebenar.
“Program ini merupakan satu peluang yang sangat baik untuk kami mengasah bakat dan menambah pengalaman sebenar di samping meningkatkan keyakinan diri,” ujarnya.-EDISI UKAS