Sarawak Sambut Baik Cadangan Kembalikan UPSR dan PT3
SERIAN: Kerajaan Sarawak menyambut baik cadangan menghidupkan semula peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3).
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tarat Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, secara peribadi beliau berharap sistem peperiksaan berkenaan dapat dikembalikan kerana ia penting sebagai penanda aras pencapaian pelajar.
“Saya harap ia kembali. Sepatutnya memang begitu. Sebab itu kita laksanakan Ujian Penilaian Program Dwibahasa Sarawak (UPDLP).
“Tahun lepas, UPDLP untuk murid Tahun Enam dan dalam tempoh tiga tahun akan datang, kumpulan pertama akan berada di Tingkatan Tiga. Ia bergantung kepada keadaan semasa dan akan ditambah baik dari semasa ke semasa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Lawatan Hari Pertama Memasuki Sekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Abdul Razak, di sini, pada Isnin.
Ditanya sama ada UPDLP akan diteruskan sekiranya UPSR dan PT3 diperkenalkan semula, beliau berkata, kerajaan negeri akan menilai situasi tersebut apabila dasar berkenaan dimuktamadkan di peringkat Persekutuan.
“Kita akan lihat apabila sampai ke situ nanti. Tetapi perlu diingat bahawa UPDLP adalah dalam Bahasa Inggeris,” jelasnya.-EDISI UKAS