SIBU: Seramai 252 mangsa banjir kini ditempatkan di tiga Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang dibuka di Bahagian Sibu susulan kejadian banjir yang melanda beberapa kawasan setempat.
Residen Bahagian Sibu, Abang Mohamad Porkan Abang Budiman berkata, PPS yang beroperasi ketika ini ialah di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Arip, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Assek dan Dewan Masyarakat Jeriah.
“PPS Dewan Masyarakat Jeriah dijangka ditutup kira-kira jam 7 malam ini selepas semua mangsa yang berlindung di pusat tersebut pulang ke rumah masing-masing sebaik keadaan disahkan selamat.
“PPS di SK Bukit Arip pula masih beroperasi kerana menempatkan 238 mangsa daripada tiga buah rumah panjang serta sebuah klinik kesihatan yang terjejas,” katanya ditemui di PPS Dewan Masyarakat Jeriah semasa penyerahan sumbangan Petroleum Sarawak Bhd (PETROS) kepada KIR mangsa banjir, pada Ahad.
Tambahnya, PPS di SMK Bukit Assek yang baharu dibuka semalam menempatkan satu Ketua Isi Rumah (KIR) melibatkan tujuh orang mangsa.
Dalam pada itu, Abang Porkan memaklumkan bahawa kerajaan menyediakan Bantuan Wang Ihsan (BWI) sebanyak RM1,000 kepada setiap keluarga yang berpindah ke PPS.
Selain itu ujarnya, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti PETROS turut menyalurkan baucer makanan bernilai RM350 kepada setiap keluarga, di samping sumbangan pakaian terpakai.
“Bagi pihak kerajaan pula, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) menyediakan bakul makanan, manakala Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) membekalkan makanan kepada mangsa sebanyak tiga kali sehari,” jelasnya. -EDISI UKAS