Penduduk Ulu Sebauh Diingatkan Peka Maklumat Rasmi Susulan Banjir Luar Biasa
SEBAUH: Penduduk di kawasan Ulu Sebauh diingatkan agar sentiasa peka terhadap maklumat rasmi serta mematuhi arahan pihak berkuasa susulan kejadian banjir luar biasa yang melanda kawasan tersebut sejak tiga hari lalu, hingga menyebabkan paras air meningkat dan memasuki kediaman penduduk, khususnya rumah-rumah panjang.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemena, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, situasi banjir kali ini agak mencabar apabila beberapa kampung dan rumah panjang terputus hubungan akibat jalan utama tidak lagi dapat dilalui, sekali gus menyukarkan pergerakan dan urusan bantuan.
Menurut beliau, kerjasama penuh daripada penduduk amat penting bagi memastikan urusan pemindahan serta pengurusan bencana dapat dilaksanakan secara teratur dan selamat oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Bintulu.
“Masalah paling besar ketika ini ialah beberapa rumah panjang dan kampung tidak lagi dapat diakses kerana jalan terputus.
"Justeru, saya berharap rakyat dan penduduk kampung bersabar serta memberikan kerjasama sepenuhnya kepada arahan pihak berkuasa, khususnya JPBB Bintulu yang dipengerusikan oleh Residen Bahagian sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika meninjau keadaan banjir di Rumah Raymond Plen, Sungai Gelam, Ulu Sebauh yang terjejas akibat limpahan air pada Isnin.
Dato Sri Dr Stephen Rundi turut memaklumkan bahawa pusat pemindahan sementara (PPS) di Balai Raya Sebauh kini telah menempatkan ratusan mangsa banjir dan berada pada kapasiti penuh, manakala PPS di SMK Sebauh turut menempatkan ratusan penduduk yang terjejas.
“Sekiranya keadaan banjir bertambah buruk, kita mungkin terpaksa mencari lokasi pemindahan lain.
"Inilah masanya kita saling membantu dan memberikan sokongan kepada mangsa banjir, bukan mengambil kesempatan dalam situasi sukar ini,” tegas beliau.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Bintulu merangkap Residen Bahagian Bintulu, Datu Nyurak Keti berkata, operasi penghantaran bantuan makanan kini sedang giat dilaksanakan ke kawasan-kawasan terjejas, khususnya di sepanjang Sungai Sebauh, Sungai Pandan dan kawasan Tubau.
Menurut beliau, sebanyak 1,500 pek makanan diagihkan pada hari ini kepada penduduk di rumah-rumah panjang terjejas, manakala baki bantuan akan dihantar secara berperingkat menggunakan perahu dan lori ke lokasi yang telah dikenal pasti.
“Hari ini saya bersama Dato Sri Dr Stephen Rundi berada di Rumah Raymond Plen. Selepas ini, kita akan meneruskan penghantaran bantuan makanan ke rumah-rumah panjang. Baki bantuan akan dihantar esok menggunakan perahu dan lori mengikut lokasi yang ditetapkan,” katanya.
beliau turut menasihatkan penduduk agar sentiasa mengutamakan keselamatan, terutama ketika menggunakan perahu untuk bergerak di kawasan banjir.
“Sekiranya perlu keluar menggunakan perahu, pastikan memakai jaket keselamatan. Keselamatan adalah keutamaan sepanjang tempoh banjir ini,” ujarnya.
Tambah beliau, orang ramai dinasihatkan agar hanya mendapatkan maklumat sahih daripada saluran rasmi dengan berhubung terus ke bilik operasi Pejabat Daerah Sebauh dan Bahagian Bintulu yang beroperasi secara antara agensi.
“Jika ada sebarang masalah atau kecemasan, hubungi terus bilik operasi kerana semua agensi berkaitan berada di sana. Jangan mudah terpengaruh dengan maklumat tidak sahih. Untuk maklumat tepat dan terkini, rujuk saluran rasmi bilik operasi,” katanya.-EDISI UKAS