Kerjasama pelbagai agensi diperkasa bantu mangsa banjir di Sebauh
SEBAUH: Operasi bantuan banjir di Sebauh kini giat dijalankan dengan kerjasama pelbagai agensi bagi memastikan bekalan makanan dan bantuan sampai kepada penduduk yang terjejas di sepanjang Sungai Sebauh, Sungai Pandan dan Tubau.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Bintulu merangkap Residen Bahagian Bintulu, Datu Nyurak Keti berkata, sebanyak 1,500 pek makanan telah dihantar ke rumah-rumah panjang, manakala baki akan disalur pada hari berikutnya menggunakan perahu dan lori.
“Bilik operasi kami beroperasi 24 jam bagi memantau situasi dan menyelaras bantuan.
“Semua agensi berkaitan berada di sini untuk memastikan operasi berjalan lancar,” katanya selepas meninjau keadaan banjir di Rumah Raymond Plen pada Isnin.
Datu Nyurak turut menekankan bahawa keselamatan penduduk perlu sentiasa menjadi keutamaan bagi mengelakkan sebarang perkara tidak diingin berlaku.
“Penduduk yang perlu keluar menggunakan perahu diminta memakai jaket keselamatan,” tegasnya.
Beliau menambah, ketua masyarakat dan ketua kaum memainkan peranan penting sebagai penghubung utama dalam menyampaikan bantuan dan maklumat kepada Pejabat Daerah serta Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Bintulu.
“Bilik operasi kita adalah inter-agency, melibatkan semua agensi berkaitan.
“Penduduk dinasihatkan bekerjasama dengan pihak berkuasa dan ketua masyarakat untuk memastikan bantuan sampai dan keselamatan terjaga,” katanya.
Beliau menegaskan, maklumat rasmi hanya boleh diperoleh daripada bilik operasi bagi mengelak sebarang kekeliruan, manakala tindakan pantas dan bersepadu adalah kunci dalam menghadapi situasi banjir yang masih belum stabil.
Turut hadir ialah Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemena, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, Pegawai Daerah Sebauh Thaddeus Ling dan Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Collin Patan.-EDISI UKAS