221 Keluarga Terjejas Banjir Di Pantu Terima Bantuan Makanan
PANTU: Seramai 221 keluarga mangsa banjir dari tiga perkampungan di Pantu menerima bantuan bekalan makanan hasil penyelarasan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Sri Aman dalam usaha memastikan kebajikan penduduk terjejas terus terbela sepanjang musim cuaca buruk.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Sri Aman, Leftenan (PA) Kamal Bujang berkata, agihan bantuan melibatkan penduduk di Rumah Miah, Munggu Ridan, Rumah John Ade, Empaling serta Rumah Kechil, Isu Entawa.
Menurut beliau, Rumah Miah di Munggu Ridan mencatatkan jumlah penerima tertinggi dengan 120 keluarga menerima pek makanan, diikuti Rumah John Ade di Empaling melibatkan 54 keluarga, manakala baki 47 pek makanan diagihkan kepada penduduk Rumah Kechil di Isu Entawa.
“Operasi pengagihan ini dilaksanakan bagi memastikan mangsa banjir mendapat bekalan makanan mencukupi dan tidak terputus sepanjang tempoh cuaca tidak menentu,” katanya ketika dihubungi.
Operasi yang bermula sekitar jam 11.20 pagi itu melibatkan kerjasama pelbagai agensi termasuk Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Sri Aman, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) selain sokongan kakitangan Pejabat Daerah Pantu serta anggota Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (UKPS).
Kamal menambah, keseluruhan proses agihan berjalan lancar dengan bantuan diserahkan terus kepada keluarga terjejas di kawasan terlibat.
Beliau turut menasihatkan penduduk supaya terus berwaspada terhadap perubahan cuaca dan paras air di kawasan masing-masing serta segera menghubungi pihak berkuasa sekiranya berlaku kecemasan melalui talian MERS 999 atau Pusat Kawalan Operasi Bencana APM Daerah Sri Aman di 083-320973.-EDISI UKAS