SCS Perkukuh Kapasiti Institusi & Prasarana Pentadbiran, Perkasa Budaya Kerja Berprestasi Tinggi
KUCHING: Perkhidmatan Awam Sarawak (SCS) akan terus memberi tumpuan kepada pengukuhan kapasiti institusi serta pemerkasaan prasarana pentadbiran sebagai teras utama agenda pemodenan perkhidmatan awam negeri bagi tahun 2026.
Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki berkata, langkah strategik ini bertujuan menyokong sekali gus menjadi pemangkin budaya kerja berprestasi tinggi dalam perkhidmatan awam.
"Justeru saya berterima kasih kepada kepimpinan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg yang sentiasa mengambil berat dan menyokong inisiatif-inisiatif berimpak tinggi yang dapat memberi manfaat besar kepada sektor perkhidmatan awam," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Amanat YAB Premier Sarawak yang disempurnakan oleh Datuk Patinggi Abang Zohari di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini, pada Selasa.
Datuk Amar Mohamad Abu Bakar menambah, antara projek berimpak tinggi yang sedang dilaksanakan dan menjadi kenyataan pada tahun 2026 ialah Kampus Leadership Institute Sarawak Civil Service (LISCS) yang bakal menjadi mercu tanda ikonik Hab Pembangunan Bakat Perkhidmatan Awam Sarawak.
Jelas beliau, projek Pusat Pentadbiran Kerajaan Bersepadu yang sedang dilaksanakan di Bintulu, Limbang dan Lawas juga akan siap dan boleh beroperasi pada tahun 2026.
Selain itu katanya, beberapa pejabat daerah telah siap dan sudah beroperasi, iaitu Pejabat Daerah Selangau, Pejabat Daerah Song, Pejabat Daerah Bukit Mabong, Pejabat Daerah Subis, Pejabat Daerah Kecil Matu dan Pejabat Daerah Kecil Oya manakala Pejabat Daerah Lundu dan Pejabat Daerah Kecil Sungai Asap akan siap tahun ini termasuk Pejabat Daerah Pusa dan Pejabat Daerah Kabong yang sedang dalam pembinaan.
Datuk Amar Mohamad Abu Bakar memberitahu, Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) turut memberikan tumpuan serius terhadap pembangunan perkhidmatan awam di Sarawak.
"Di bawah RMK-13, sebanyak 35 projek baharu telah diluluskan, melibatkan 21 projek Pejabat Daerah yang akan dibina serta beberapa Projek Pusat Pentadbiran Kerajaan baharu di Samarahan, Miri dan Sibu.
"Saya percaya bahawa pelaksanaan projek ini akan memberikan tempat kondusif kepada rakan-rakan kita di dalam Perkhidmatan Awam Sarawak," ujarnya.
Selain itu tambahnya, 66 tapak juga telah dikenal pasti untuk pembangunan kuarters di seluruh Sarawak, menempatkan pegawai Kerajaan Sarawak malah boleh digunakan sebagai penempatan sementara untuk pegawai Persekutuan.
Hadir sama, anakanda kepada Premier Sarawak, Dayang Norjihan, Timbalan-Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian, Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, barisan Kabinet Menteri Sarawak dan Persekutuan, barisan Timbalan Menteri Sarawak dan Persekutuan, Ketua-ketua Jabatan serta tetamu jemputan lain. -EDISI UKAS
Disediakan oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Muhammad Rais Sanusi