Kemudahan Asas Di Balingian Ditingkatkan Menerusi Projek RTP
MUKAH: Sebanyak tiga projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) yang telah siap dilaksanakan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Balingian diserahkan bagi memberi manfaat kepada penduduk luar bandar.
Majlis penyerahan projek daripada agensi pelaksana, Jabatan Kerja Raya Bahagian Mukah, kepada Ketua-Ketua Kaum bagi ketiga-tiga projek berkenaan telah disaksikan oleh Pegawai Khas Pusat Khidmat Balingian, Che Ghazali Arbi yang mewakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian, Abdul Yakub Arbi, pada Selasa.
Ketiga-tiga projek RTP tersebut melibatkan pembinaan baharu culvert di Jalan Klinik Kuala Balingian, kerja baik pulih culvert di Dewan Serbaguna Kampung Penipah serta naik taraf jalan ke rumah-rumah penduduk di Kampung Tutus Hilir, yang kesemuanya berjaya disiapkan lebih awal daripada jadual pelaksanaan ditetapkan.
Bagi projek bina baharu culvert di Jalan Klinik Kuala Balingian, kerja pembinaan telah dilaksanakan oleh Mudajaya Enterprise, manakala projek baik pulih culvert di Dewan Serbaguna Kampung Penipah dilaksanakan oleh AZ Enterprise.
Sementara itu, projek naik taraf jalan ke rumah-rumah penduduk di Kampung Tutus Hilir dilaksanakan oleh Delima Jaya Enterprise.
Ketua Kaum Kuala Balingian, Ismail Akup merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan Sarawak, wakil rakyat kawasan serta pihak kontraktor atas komitmen dan kerjasama dalam menjayakan projek berkenaan.
Beliau turut berharap agar jalan menuju ke klinik di kawasan tersebut dapat dinaik taraf sepenuhnya pada masa akan datang bagi memudahkan penduduk mendapatkan akses kepada perkhidmatan kesihatan.
Sementara itu, Ketua Kaum Kampung Penipah, Julaihi Drahman menzahirkan penghargaan kepada ADUN Balingian atas pelaksanaan projek yang memberi manfaat besar kepada penduduk kampung berkenaan.
“Terima kasih YB Yakub serta semua pihak yang terlibat atas pelaksanaan projek ini. Ia pastinya memberi manfaat kepada penduduk kampung, khususnya dalam melaksanakan aktiviti komuniti,” katanya.
Manakala Ketua Kaum Kampung Tutus Hilir, Zaffarin Bohari amat menghargai keprihatinan Kerajaan Sarawak di bawah pimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, yang sentiasa memberi perhatian terhadap keperluan penduduk luar bandar.
Menurut beliau, projek yang siap mendahului jadual pelaksanaan di kampung berkenaan bukan sahaja meningkatkan kemudahan asas, malah menyumbang kepada keselesaan dan kesejahteraan penduduk setempat.
“Terima kasih kepada Premier Sarawak kerana tidak pernah meminggirkan kami penduduk luar bandar untuk menikmati kemudahan seperti ini,” ujarnya. - EDISI UKAS