EPU Sarawak Kini Diterajui Datu Ir. Ts Awg Mohd Fadillah Awg Redzuan
KUCHING: Kepimpinan Unit Perancang Ekonomi (EPU) Sarawak kini diterajui Datu Ir. Ts Awg Mohd Fadillah Awg Redzuan susulan pelantikan rasmi beliau sebagai Pengarah baharu, menggantikan Datu Lester Matthew yang kini memikul tanggungjawab sebagai Setiausaha Tetap Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak (MINTRED).
Pelantikan secara simbolik disempurnakan menerusi Majlis Serah Tugas Rasmi yang disaksikan oleh Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan dan Pembangunan Ekonomi), Dato Sri Dr. Muhammad Abdullah Zaidel di Wisma Bapa Malaysia, di sini hari ini.
Dalam ucapannya, Dato Sri Dr. Muhammad Abdullah Zaidel merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas sumbangan besar Datu Lester Matthew sepanjang menerajui EPU Sarawak, khususnya dalam memperkukuh perancangan strategik, penyelarasan dasar serta pelaksanaan pelbagai inisiatif pembangunan negeri, di samping mengekalkan tahap integriti dan profesionalisme yang tinggi.
Beliau turut mengalu-alukan pelantikan Datu Ir. Ts Awg Mohd Fadillah sebagai Pengarah baharu EPU Sarawak serta menyatakan keyakinan terhadap keupayaan beliau untuk meneruskan kesinambungan agenda pembangunan ekonomi negeri selaras dengan aspirasi Premier Sarawak.
Sementara itu, Datu Lester dalam ucapannya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Dato Sri Dr. Muhammad Abdullah atas sokongan berterusan yang diberikan sepanjang tempoh perkhidmatannya, selain menzahirkan ucapan terima kasih kepada seluruh warga EPU Sarawak atas kerjasama dan komitmen yang diberikan.
Datu Ir. Ts Awg Mohd Fadillah pula menyatakan penghargaan atas kepercayaan yang diberikan kepadanya serta menegaskan komitmen untuk memimpin EPU Sarawak dengan penuh integriti, profesionalisme dan dedikasi, di samping memberi penekanan kepada pembangunan yang mampan dan inklusif demi kesejahteraan rakyat Sarawak.
Majlis berkenaan mencerminkan peralihan tanggungjawab yang lancar dan teratur, sekali gus menzahirkan komitmen berterusan Kerajaan Sarawak terhadap amalan tadbir urus yang baik serta kesinambungan penyampaian perkhidmatan awam negeri.-EDISI UKAS