Kod Penerbangan AirBorneo Beralih kepada MY Mulai 14 Januari Ini
KUCHING: Kod penerbangan AirBorneo akan beralih daripada MH kepada MY bermula 14 Januari 2026 susulan peralihan operasi syarikat penerbangan itu kepada Sistem Kawalan Pelepasan (DCS) miliknya sendiri, selaras dengan fasa baharu pengoperasian dan penjenamaan syarikat.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, penerbangan AirBorneo yang sebelum ini menggunakan kod MH (siri MH3000) akan ditukar kepada kod MY (siri MY3000) berkuat kuasa tarikh berkenaan.
Beliau berkata demikian selepas menerima taklimat operasi daripada Ketua Pegawai Eksekutif AirBorneo, Megat Ardian Wira Mohd Aminuddin yang mengetuai pasukan pengurusan kanan syarikat dalam satu kunjungan hormat pada Selasa.
Dato Sri Lee menambah, pihak pengurusan AirBorneo telah membentangkan persiapan rapi bagi migrasi DCS daripada sistem MASwings kepada DCS AirBorneo (MY), termasuk koordinasi dengan pengendali lapangan terbang serta pihak berkepentingan berkaitan bagi memastikan kelangsungan operasi penerbangan tanpa gangguan.
Jelasnya, kementerian beliau mengambil maklum serta mengalu-alukan jaminan bahawa proses peralihan sistem yang dijadualkan pada 14 Januari 2026 itu akan dilaksanakan secara lancar tanpa menjejaskan jadual penerbangan, tempahan atau perkhidmatan penumpang.
“Semua sistem akan kekal beroperasi sepenuhnya sepanjang tempoh peralihan dan penumpang yang melakukan perjalanan dalam tempoh ini tidak akan mengalami sebarang perubahan terhadap itinerari mereka,” katanya.
Sementara itu katanya, peralihan DCS akan dilaksanakan serentak di 21 lapangan terbang di Sabah, Sarawak dan Labuan yang diservis oleh AirBorneo dengan operasi kaunter daftar masuk berjalan seperti biasa, sementara paparan maklumat penerbangan dan papan tanda dikemas kini menggunakan penjenamaan AirBorneo serta nombor penerbangan MY.
Dalam pada itu, beliau turut mengalu-alukan pelantikan Megat Ardian Wira Mohd Aminuddin sebagai Ketua Pegawai Eksekutif AirBorneo dan menyatakan keyakinan terhadap kepimpinan syarikat penerbangan itu dalam menerajui fasa operasi seterusnya.
“Kementerian menantikan kerjasama erat dengan pengurusan AirBorneo bagi memastikan kestabilan operasi, kebolehpercayaan perkhidmatan serta pengalaman penumpang yang lancar, di samping memperkukuh jaringan perhubungan serantau,” katanya.
Peralihan ini dilihat sebagai langkah strategik bagi memperkukuh kecekapan operasi AirBorneo serta menyokong pembangunan jaringan penerbangan serantau.-EDISI UKAS