PMR Pacu Pembangunan Infrastruktur & Kesejahteraan Penduduk
SARIKEI: Kerajaan Sarawak terus komited memperkukuh kemudahan asas luar bandar menerusi pelaksanaan beberapa projek baharu di sekitar daerah ini melalui Projek Mesra Rakyat (PMR) 2025, sekali gus meningkatkan kualiti hidup komuniti setempat.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi merangkap Ahli Parlimen Sarikei, Dato’ Sri Huang Tiong Sii berkata, pelaksanaan projek berkenaan memberi tumpuan kepada penambahbaikan infrastruktur yang mampu memudahkan pergerakan penduduk serta menyokong pembangunan sosioekonomi kawasan luar bandar.
“Pelaksanaan projek ini diharap dapat memberi manfaat jangka panjang kepada penduduk setempat, di samping merancakkan pembangunan yang lebih seimbang dan inklusif,” katanya pada Selasa.
Antara projek yang dilaksanakan ialah kerja menaik taraf dan pembinaan jalan konkrit di Lot 198, Jalan Ulu Meradong–Bakong, Bintangor, selain penambahbaikan serta pembinaan laluan pejalan kaki di Kampung Darul Falah, Sungai Gemuan, Bintangor.
Turut dilaksanakan ialah projek menaik taraf dan pembinaan jalan konkrit di Jalan Hashim, Kampung Darul Falah, Sungai Gemuan, Bintangor, yang bertujuan meningkatkan tahap keselamatan serta keselesaan pengguna jalan raya, khususnya penduduk setempat.
Pelaksanaan projek di bawah PMR 2025 di kawasan Parlimen Sarikei ini mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Sarawak dalam memperkasa pembangunan infrastruktur luar bandar demi keselesaan, keselamatan dan kesejahteraan komuniti setempat.
Dalam sesi tersebut, Dato’ Sri Huang, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok, telah diwakili oleh Wong Soon Mee. -EDISI UKAS