KUCHING: Sarawak akan melaksanakan levi karbon bermula tahun 2026 sebagai sebahagian daripada komitmen negeri dalam menangani perubahan iklim serta menyokong peralihan kepada ekonomi rendah karbon.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, levi karbon itu diperkenalkan di bawah Ordinan Alam Sekitar (Pengurangan Gas Rumah Hijau) 2023 dan akan dikenakan ke atas fasiliti terkawal dalam sektor minyak, gas dan tenaga.
"Hasilnya disalurkan ke dalam Dana Perubahan Iklim khusus bagi menyokong pembangunan tenaga boleh diperbaharui, kecekapan tenaga, pemuliharaan hutan, pemodenan grid serta inisiatif daya tahan iklim," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Amanat YAB Premier Sarawak 2026, bertemakan 9 Tahun Yang Gemilang di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), pada Selasa.
Dalam pada itu, Datuk Patinggi Abang Zohari memberitahu, Sarawak terus memperkukuh asas kewangan dan institusinya bagi menginstitusikan kredibiliti serta memastikan kelestarian pelaksanaan dasar pembangunan negeri.
Menurutnya, Penubuhan Bank Pembangunan Sarawak (DBOS) bertujuan menyediakan pembiayaan bersifat sabar dan berorientasikan pembangunan, selaras dengan keutamaan negeri.
Tambahnya, dana Kekayaan Berdaulat Masa Depan Sarawak diwujudkan bagi menukar hasil sumber yang terhad kepada aset kewangan yang berkekalan untuk generasi akan datang.
Manakala jelasnya, pengambilalihan pegangan majoriti Sarawak dalam Affin Bank telah memperkukuh kehadiran strategik negeri dalam sistem kewangan nasional, sekali gus membolehkan penyelarasan yang lebih baik antara pengantaraan kewangan dengan objektif pembangunan jangka panjang.
"Secara keseluruhan, usaha-usaha ini telah meletakkan semula kedudukan Sarawak ke tahap yang lebih tinggi.
"Sarawak tidak lagi dilihat semata-mata sebagai ekonomi berasaskan sumber, sebaliknya semakin diiktiraf sebagai rakan yang credible dan boleh dipercayai dalam transformasi ekonomi serantau dan global," ujarnya.
Hadir sama, anakanda kepada Premier Sarawak, Dayang Norjihan, Timbalan-Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian, Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, barisan Kabinet Menteri Sarawak dan Persekutuan, barisan Timbalan Menteri Sarawak dan Persekutuan, Ketua-ketua Jabatan serta tetamu jemputan lain. -EDISI UKAS
Disediakan oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Muhammad Rais Sanusi