Sarawak Masuki Fasa Pelaksanaan & Prestasi, 2026 Jadi Tahun Penentu
KUCHING: Tahun 2026 disifatkan sebagai tahun penentu kepada penyampaian dasar serta pelaksanaan pembangunan di Sarawak, apabila negeri ini beralih daripada fasa persediaan kepada fasa prestasi sebenar.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, Sarawak telah meletakkan asas kukuh meliputi strategi, penubuhan institusi serta mekanisme pembiayaan yang komprehensif sepanjang beberapa tahun kebelakangan ini bagi menyokong pembangunan jangka panjang negeri.
"Pada tahun 2026, asas-asas ini mesti diterjemahkan kepada hasil yang jelas dan ketara di mana projek-projek yang sedia untuk dilaksanakan perlu digerakkan dengan tegas dan segera.
"Kekangan yang berpunca daripada pertindihan proses, sikap terlalu berhati-hati terhadap risiko atau ketidakjelasan bidang kuasa mesti diselesaikan dengan pantas," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Amanat YAB Premier Sarawak 2026, bertemakan 9 Tahun Yang Gemilang di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), pada Selasa.
Premier Sarawak menambah, penyelarasan mesti diterjemahkan kepada tindakan dengan data, alat digital dan pemantauan masa nyata perlu dimanfaatkan bagi membolehkan peralihan daripada perbincangan kepada keputusan dan daripada keputusan kepada pelaksanaan.
Jelasnya, platform antara agensi mesti menghasilkan garis masa yang jelas dan hasil yang nyata, dengan isu-isu ditingkatkan segera apabila kemajuan mula perlahan.
Selain itu ujarnya, akauntabiliti terhadap hasil mesti dinyatakan dengan jelas dengan setiap inisiatif utama di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) perlu mempunyai pemilik yang dikenal pasti dan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap penyampaian.
"Akauntabiliti bermula dengan kepimpinan di mana setiap peringkat, prestasi dalam fasa ini akan diukur berdasarkan apa yang benar-benar dilaksanakan di lapangan, bukan sekadar pelan yang diumumkan atau niat yang dizahirkan," tegasnya.
Hadir sama, anakanda kepada Premier Sarawak, Dayang Norjihan, Timbalan-Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian, Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, barisan Menteri Kabinet Sarawak dan Persekutuan, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, barisan Timbalan Menteri Sarawak dan Persekutuan, Ketua-ketua Jabatan serta tetamu jemputan lain. -EDISI UKAS
Disediakan oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Muhammad Rais Sanusi