Sarawak Serah Isu Pencerahan Kerangka Kawal Selia Petroleum Kepada Mahkamah
KUCHING: Kerajaan Sarawak mengambil pendirian untuk menyerahkan sepenuhnya kepada keputusan mahkamah mengenai permohonan Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) untuk mendapatkan pencerahan berkaitan kawal selia petroleum di Sarawak.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, isu berkenaan melibatkan bidang kuasa antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak.
"Saya tiada komen, mereka berkehendakkan arahan daripada mahkamah, biarkan mahkamah menentukan.
"Ini kerana dia menyentuh kedua-dua Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri, biarkan mahkamah (menentukan), tiada komen perlu dibuat" katanya ringkas kepada pemberita selepas Majlis Amanat YAB Premier Sarawak 2026 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada Selasa.
Untuk rekod, PETRONAS memfailkan suatu notis usul di Makhamah Persekutuan untuk mendapatkan penjelasan mengenai kerangka kawal selia yang terpakai bagi operasi petroleum di Sarawak.
Premier Sarawak menambah, notis usul ini tidak memberi kesan banyak kepada negeri ini memandangkan ia hanya untuk mendapatkan arahan serta pencerahan daripada mahkamah dari sudut perundangan.
Ditanya mengenai kemungkinan penyelesaian hubungan antara PETRONAS dan PETROS, beliau sekali lagi menegaskan bahawa perkara itu tertakluk kepada keputusan mahkamah.
"Kita lihatlah bagaimana keputusan mahkamah, biarkan ia menentukan. Kita ada undang-undang maka kita ikut berlandaskan undang-undang," ujarnya. -EDISI UKAS
Disediakan oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Muhammad Rais Sanusi