Bantuan Persekolahan Terus Disalurkan di DUN Kuala Rajang
KUALA RAJANG: Kerajaan Sarawak terus menzahirkan keprihatinan terhadap kebajikan rakyat menerusi pelaksanaan Program Back To School di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Rajang bagi membantu meringankan beban ibu bapa berpendapatan rendah dalam membuat persiapan persekolahan anak-anak menjelang sesi persekolahan baharu tahun 2026.
Program anjuran Pusat Khidmat DUN Kuala Rajang dengan kerjasama Saberkas Kuala Rajang itu dilaksanakan di beberapa buah sekolah di Zon Tanjung Manis yang melibatkan kawasan Belawai dan Rajang.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang, Datuk Len Talif Salleh berkata, inisiatif tersebut mencerminkan komitmen berterusan kerajaan Sarawak dalam memastikan kebajikan golongan kurang berkemampuan sentiasa diberi perhatian, khususnya dalam aspek pendidikan.
Menurut beliau, Program Back To School itu merupakan kesinambungan kepada beberapa inisiatif kebajikan yang telah dilaksanakan sebelum ini di kawasan DUN Kuala Rajang, antaranya Program Khatan Perdana pada Disember 2025 serta Program Gunting Rambut Percuma pada awal Januari 2026.
Bagi Zon Tanjung Manis, pengagihan bantuan keperluan persekolahan melibatkan enam buah sekolah rendah dan sebuah sekolah menengah iaitu SMK Belawai, SK Abang Gesa Belawai, SK Abang Buyuk Jerijih, SK Abang Galau Rajang, SK Batang Sebayang dan SK Stalun.
Seramai 389 orang pelajar telah menerima sumbangan berupa beg sekolah, kasut, tabung air serta alat tulis bagi memastikan mereka dapat memulakan sesi persekolahan dalam keadaan lebih selesa dan teratur.
Sementara itu, pengagihan bantuan bagi Zon Sarikei yang melibatkan 11 buah sekolah dan seramai 822 orang penerima dijadualkan akan dilaksanakan selepas selesai pengagihan di Zon Tanjung Manis.
Keseluruhan pelaksanaan program ini dikendalikan oleh ahli-ahli Saberkas dengan kerjasama Pusat Khidmat DUN Kuala Rajang, sekali gus mencerminkan semangat kerjasama erat antara kepimpinan tempatan dan badan belia dalam menyantuni keperluan rakyat.
Program ini jelas memperlihatkan usaha berterusan Kerajaan Sarawak dalam memastikan kesejahteraan masyarakat setempat terus terpelihara. - EDISI UKAS