Kepimpinan Premier Sarawak Catat Pelbagai Pencapaian Gemilang
KUCHING: Sarawak mencatat pelbagai pencapaian gemilang sepanjang sembilan tahun kepimpinan Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg sebagai pemimpin nombor satu negeri ini hasil pelaksanaan dasar berani dan tadbir urus berwawasan yang memberi impak langsung terhadap pertumbuhan ekonomi, pembangunan infrastruktur serta kesejahteraan rakyat.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, kepimpinan Datuk Patinggi Abang Zohari sejak 2017 telah membawa Sarawak melalui transformasi menyeluruh daripada sebuah negeri yang berdepan jurang pembangunan kepada sebuah wilayah yang stabil, progresif serta dihormati di peringkat nasional dan antarabangsa.
“Sarawak hari ini bukan sekadar berbicara soal pembangunan, sebaliknya perubahan yang dilaksanakan adalah nyata, boleh dilihat dan dinikmati oleh rakyat,” katanya.
Beliau berucap demikian pada Majlis Amanat Perdana Premier Sarawak 2026 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada Selasa.
Datuk Amar Douglas Uggah berkata, peningkatan hasil negeri yang merekodkan lebih RM14 bilion pada 2024 berbanding sekitar RM6.5 bilion pada 2017 membuktikan keberkesanan strategi kewangan serta pengukuhan autonomi fiskal Sarawak.
Dalam aspek pembangunan fizikal, beliau memaklumkan Kerajaan Sarawak telah melaksanakan lebih 1,500 projek infrastruktur melibatkan pembinaan jalan raya, jambatan dan kemudahan awam di seluruh negeri, termasuk 22 jambatan utama yang meningkatkan keterhubungan luar bandar serta merancakkan aktiviti ekonomi setempat.
“Semua pencapaian ini tidak akan menjadi kenyataan tanpa kepimpinan Premier Sarawak yang berani membuat keputusan strategik serta sokongan padu seluruh jentera perkhidmatan awam,” ujarnya.
Beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada perkhidmatan awam Sarawak dan semua agensi kerajaan yang komited melaksanakan dasar serta inisiatif pembangunan negeri.
“Saya ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada seluruh penjawat awam Sarawak atas komitmen, integriti dan sokongan tidak berbelah bahagi dalam merealisasikan dasar kerajaan demi kepentingan rakyat,” katanya.
Dalam pada itu, Datuk Amar Douglas Uggah menegaskan kejayaan Sarawak mempertahankan hak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), pengukuhan kutipan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), penubuhan institusi kewangan pembangunan negeri serta pelaksanaan pendidikan tinggi percuma sebagai antara dasar berimpak tinggi yang telah mengubah landskap pembangunan negeri.
“Dasar-dasar ini telah melonjakkan Sarawak sebagai kuasa ekonomi baharu yang berteraskan inovasi, teknologi hijau dan kesejahteraan inklusif,” jelasnya.
Mengulas hala tuju ke hadapan, Datuk Amar Douglas Uggah menyuarakan harapan agar seluruh rakyat dan penjawat awam Sarawak terus bersatu padu serta memberi sokongan penuh kepada kepimpinan negeri dalam merealisasikan aspirasi pembangunan jangka panjang Sarawak.
“Saya berharap seluruh rakyat Sarawak terus berdiri teguh, bersatu hati dan memberikan sokongan berterusan kepada kepimpinan negeri agar visi pembangunan Sarawak dapat diteruskan demi generasi masa depan,” katanya.-EDISI UKAS