Amanat Perdana Premier Sarawak 2026 Suntik Inspirasi, Cetus Aspirasi Belia
KUCHING: Amanat Perdana Premier Sarawak Tahun 2026 menjadi platform penting dalam memperkukuh komitmen Kerajaan Sarawak dalam memperkasakan golongan belia melalui pelaksanaan dasar pendidikan inklusif dan berdaya mampan sebagai teras pembentukan modal insan masa depan.
Pelajar Universiti Tun Abdul Razak (UniRazak), Audrey Lungan Luat, menyifatkan amanat tersebut sebagai sumber inspirasi yang membuka pemikiran belia untuk memahami peranan mereka dalam pembangunan Sarawak.
“Sebagai pelajar, kami perlu belajar bersungguh-sungguh kerana kerajaan negeri telah menyediakan pendidikan percuma. Selain itu, belia juga berperanan mempromosikan budaya dan warisan Sarawak agar dapat difahami dengan lebih tepat oleh masyarakat luar,” katanya ketika ditemui wartawan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada Selasa.
Beliau menambah, amanat tersebut berjaya memperluaskan perspektif pelajar agar lebih berfikiran terbuka dan progresif dalam merancang masa depan diri serta sumbangan kepada negeri.
Seorang lagi pelajar UniRazak, Mohd Syafiqal Hairry berkata, penekanan terhadap pembangunan infrastruktur moden serta pendidikan dalam amanat Premier Sarawak membuktikan kesungguhan kerajaan negeri menyediakan ekosistem terbaik untuk generasi muda.
“Amanat ini memberi pendedahan jelas mengenai hala tuju pembangunan negeri. Pendidikan percuma yang disediakan mampu membantu keluarga kurang berkemampuan dan menjadi pemangkin semangat anak muda untuk terus menimba ilmu demi memajukan Sarawak,” ujarnya.
Pandangan sama turut dikongsi oleh Nurul Farahanie, juga pelajar UniRazak yang melihat amanat Premier Sarawak bukan sahaja menjurus kepada dasar dan inisiatif, malah turut mencerminkan kepimpinan berwawasan yang wajar dicontohi oleh golongan belia.
Menurutnya, keperibadian Premier Sarawak yang proaktif dan strategik menjadi contoh terbaik kepada pelajar agar lebih bersedia menghadapi cabaran masa depan, khususnya dalam pembangunan diri dan kerjaya.
“Melalui amanat ini, Premier turut memperkenalkan Inisiatif Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES) yang amat membantu pelajar, terutamanya daripada golongan B40, supaya dapat memberi fokus sepenuhnya kepada pembelajaran,” katanya.
Beliau turut menasihatkan pelajar lain agar tidak mensia-siakan peluang yang diberikan melalui inisiatif pendidikan percuma tersebut.
“Gunakan peluang ini sebaik mungkin kerana masa depan Sarawak bergantung kepada usaha kita sendiri. Jika kita tidak memajukan diri, tiada siapa yang akan memajukan Sarawak untuk kita,” tambahnya.-EDISI UKAS