Kerajaan Sarawak Rancang Penyelesaian Jangka Panjang Tangani Banjir
BINTULU: Kerajaan Sarawak akan merangka perancangan jangka panjang melibatkan penyelesaian kejuruteraan bagi menangani masalah banjir, khususnya berkaitan sistem saliran dan infrastruktur di kawasan terjejas.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, kerja pembaikan jalan raya yang rosak akibat banjir tidak dilaksanakan serta-merta berikutan kebimbangan berlakunya gelombang banjir susulan dalam tempoh terdekat.
“Kita jangka masih berkemungkinan berlaku gelombang kedua atau ketiga sehingga Februari. Jika pembaikan dibuat sekarang, ia berisiko rosak semula.
“Oleh itu, kerja pembinaan semula akan dilaksanakan selepas musim monsun,” katanya pada sidang media sempena lawatan beliau ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) mangsa banjir di Dewan Suarah Bintulu, pada Rabu.
Menurut Datuk Patinggi Abang Zohari, kerajaan negeri juga akan meneliti isu pemendapan sungai serta sistem perparitan, terutama di kawasan bandar Bintulu yang pesat membangun, melalui perbincangan dan perancangan menyeluruh di peringkat negeri serta pihak berkaitan seperti Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA).
Beliau menegaskan pembangunan perumahan perlu selari dengan pelan induk bagi mengelakkan masalah saliran dan sekatan aliran air yang boleh memburukkan risiko banjir.
“Kita akan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pemaju bagi menyusun semula sistem perparitan supaya lebih harmoni dan berkesan,” katanya.
Turut serta dalam lawatan itu ialah Timbalan Premier Sarawak merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemena Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Dato Sri Fatimah Abdullah, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak merangkap ADUN Samalaju Datuk Majang Renggi, ADUN Jepak Iskandar Turkee, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran) Datu Felicia Tan Ya Hua, Residen Bahagian Bintulu Datu Nyurak Keti, Pengarah Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak Abdul Wahab Rahim dan Pegawai Daerah Bintulu Awang Mohammed Nizam Awang Ali Bohan.-EDISI UKAS