KUCHING: Atok Derop secara rasmi dilantik sebagai Temenggong Masyarakat Bidayuh Bahagian Kuching bagi tempoh dua tahun bermula 1 Januari 2026 hingga 31 Disember 2027.
Pelantikan tersebut dimeterai menerusi Sesi Penyerahan Watikah Pelantikan yang berlangsung di Pejabat Residen Bahagian Kuching di sini pada Rabu.
Watikah pelantikan berkenaan menzahirkan pengiktirafan terhadap kepimpinan dan sumbangan Atok Derop dalam menyatukan serta menjaga kebajikan masyarakat Bidayuh di peringkat bahagian.
Ia sekali gus memperkukuh struktur kepimpinan masyarakat adat serta memperkasa peranan komuniti Bidayuh di Bahagian Kuching.
Majlis itu disaksikan oleh Residen Bahagian Kuching, Dayang Joanita Azizah Abang Morshidi serta wakil rakyat tempatan.
Antara yang hadir ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serembu Dato Miro Simuh, wakil ADUN Mambong Joda Mamung; wakil ADUN Tasik Biru Jeinoster Toka dan John Ripet Ngirai serta wakil ADUN Opar Sebastian Suin Lensi.
Turut hadir Pegawai Daerah Kuching Zaidi Sarkawi, wakil Pegawai Daerah Lundu Anwar Fakhriyuddin Matamit, wakil Pegawai Daerah Bau Saffika Kueh dan wakil Pejabat Daerah Kecil Padawan Paul Mathieus Akin.-EDISI UKAS
Dilaporkan oleh:
Mohd Safizul Fa'izad bin Paisan
UKAS Bahagian Kuching