Projek Bumbung Baharu Esplanade Simunjan Catat Kemajuan Positif
SIMUNJAN: Pelaksanaan projek pembinaan bumbung baharu di Simunjan Esplanade melibatkan Lot 113 dan 114 kini berjalan aktif dengan perkembangan yang dilihat semakin positif.
Pada masa ini, kerja-kerja pemasangan rangka keluli sedang berlangsung di tapak, sementara proses fabrikasi komponen dilakukan di kilang bagi memastikan perjalanan kerja di lokasi pembinaan lebih teratur dan efisien.
Berdasarkan laporan kemajuan harian, seramai lapan tenaga kerja ditugaskan dalam projek ini yang merangkumi seorang penyelia tapak, lima pekerja am serta dua operator bagi memastikan setiap peringkat kerja dilaksanakan mengikut jadual yang dirancang.
Faktor cuaca yang baik sepanjang tempoh pelaksanaan turut memainkan peranan penting dalam memastikan kelancaran kerja tanpa sebarang halangan.
Secara keseluruhan, status projek berada dalam keadaan terkawal dan menunjukkan kemajuan yang konsisten.
Pihak Majlis Daerah Simunjan sebagai agensi pelaksana akan terus menjalankan pemantauan dari semasa ke semasa bagi memastikan projek ini dapat disiapkan mengikut tempoh yang ditetapkan serta memberi kemudahan yang lebih baik kepada orang awam. -EDISI UKAS