Lebih 1,000 Pelajar di Sarikei Terima Bantuan Persekolahan
SARIKEI: Seramai 1,017 pelajar daripada 12 buah sekolah di daerah ini menerima bantuan persekolahan sebagai usaha meringankan beban ibu bapa di samping memastikan kebajikan pelajar terus terpelihara.
Sesi penyerahan disempurnakan oleh Pasukan Pusat Khidmat Wakil Rakyat Parlimen Sarikei yang diketuai Wong Soon Mee bersama Tr Kinchu Ajan dan Jacky Sia dalam satu program ringkas, pada Khamis.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi merangkap Ahli Parlimen Sarikei Dato’ Sri Huang Tiong Sii berkata, perhatian terhadap sektor pendidikan sentiasa menjadi keutamaan bagi memastikan kesejahteraan pelajar terus diberi perhatian.
Beliau berkata, agihan bantuan dilaksanakan secara menyeluruh tanpa mengira latar belakang sekolah bagi memastikan semua institusi pendidikan di kawasan berkenaan menerima manfaat secara adil dan saksama.
“Penyaluran ini dilaksanakan secara inklusif supaya tiada sekolah yang tercicir, selaras dengan hasrat memastikan setiap pelajar memperoleh kemudahan pendidikan yang sewajarnya,” katanya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok itu menambah, pendidikan merupakan elemen penting dalam melahirkan modal insan berkualiti serta menjadi asas kepada pembangunan negara pada masa hadapan.
Sehubungan itu, sumbangan berbentuk pakaian seragam dan kasut sekolah disalurkan kepada sekolah-sekolah terlibat bagi membantu pelajar menghadiri sesi persekolahan dalam keadaan lebih selesa dan berkeyakinan.
Beliau berharap bantuan yang disalurkan dapat mengurangkan tekanan kewangan keluarga selain menyuntik semangat pelajar untuk mencapai kecemerlangan dalam akademik dan kokurikulum.
Antara sekolah yang terlibat ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Abang Amin, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kai Chung, SK Saint Augustine dan SK Gemuan.
Selain itu, turut menerima bantuan ialah SJKC Ming Lu, SJKC Ming Ching, SJKC Min Daik, SK Nanga Stras, SK Sungai Mador, SK Ulu Binatang, SK Ulu Stras serta SK Bandar Bintangor.-EDISI UKAS