KCFC Rebah di Iskandar Puteri, JDT Kekal Reputasi Gah
ISKANDAR PUTERI: Kuching City FC (KCFC) hampir mencalar reputasi Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim sebelum terpaksa akur dengan kebangkitan juara bertahan itu yang memastikan kemenangan tipis 2-1 dalam aksi Liga Super, di Iskandar Puteri, pada Rabu.
Pendahulu liga itu dipaksa bekerja keras selepas dikejutkan jaringan pelawat pada babak pertama, sebelum bangkit pada separuh masa kedua bagi mengekalkan rekod tanpa kalah mereka musim ini.
Sejak wisel permulaan, JDT tampil lebih menguasai permainan dengan beberapa percubaan awal di mana pada minit keempat, hantaran tepat Antonio Glauder menemui Jairo da Silva, namun rembatan penyerang import Brazil itu berjaya dinafikan oleh ketangkasan penjaga gol Kuching City, Haziq Nadzli.
Bagaimanapun, skuad kendalian Aidil Sharin Sahak tidak gentar reputasi pendahulu liga itu dengan satu percubaan minit ke-16 menerusi gerakan pantas Ramadhan Saifullah yang menyelinap masuk ke kotak penalti JDT mencipta peluang apabila hantaran Ronald Ngah Wanja disudahkan oleh Aliff Hassan, namun percubaannya sekadar melepasi palang gol.
Tekanan berterusan akhirnya membuahkan hasil buat The City Boys apabila Scott Galang Woods meledak gol pembukaan pada minit ke-40.
Jaringan tersebut terhasil daripada rangkaian gerakan kemas yang dimulakan oleh Petrus Shitembi sebelum Ramadhan melorongkan bola untuk disempurnakan Woods, sekali gus meletakkan KCFC di hadapan 1-0 menjelang rehat.
Separuh masa kedua menyaksikan drama berlanjutan apabila JDT kehilangan Natxo Insa yang dilayangkan kad merah pada minit ke-54.
Namun, kelebihan jumlah pemain itu gagal dimanfaatkan sepenuhnya oleh KCFC apabila hanya tiga minit kemudian, Nacho Méndez melepaskan rembatan kencang untuk menyamakan kedudukan.
Momentum jelas memihak kepada tuan rumah selepas itu apabila Bergson da Silva muncul wira dengan jaringan volley pada minit ke-64, memastikan tiga mata kekal di Iskandar Puteri dan mengesahkan kemenangan 2-1 buat JDT.
Keputusan berkenaan menyaksikan JDT terus memperkukuh kedudukan di puncak Liga Super, manakala Kuching City terpaksa akur turun satu anak tangga ke kedudukan keempat liga. -EDISI UKAS