Program Bicara Israk & Mikraj Di Lundu Erat Ukhuwah Ummah
LUNDU: Lembaga Amanah Kebajikan Islam Lundu (LAKIL) telah menganjurkan Program Bicara Israk dan Mikraj Peringkat Daerah Lundu 1447H/2026M bertempat di Masjid Pehin Sri Haji Adenan Satem, Lundu pada Rabu, dengan penyertaan kira-kira 80 orang jemaah dari sekitar daerah tersebut.
Program yang berlangsung dari jam 5 petang hingga 9 malam itu menghimpunkan kira-kira 80 jemaah dari sekitar daerah Lundu dengan matlamat memperingati peristiwa agung Israk dan Mikraj serta menghayati pengajaran dan hikmah yang terkandung sebagai panduan dalam kehidupan seharian umat Islam.
Majlis ilmu tersebut diserikan dengan kehadiran Abang Abdul Aziz Datuk Abang Draup, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak yang hadir mewakili ADUN Tanjong Datu, selain Pengerusi LAKIL, Datuk Amar Jamilah Anu yang bersama-sama jemaah mengimarahkan program kerohanian berkenaan.
Pengisian utama disampaikan oleh Pakar Rujuk Syariah Jabatan Mufti Sarawak, Datu Khalidi Ibrahim yang mengupas secara mendalam ibrah peristiwa Israk dan Mikraj, khususnya berkaitan pensyariatan solat lima waktu sebagai tonggak utama pembentukan sahsiah dan disiplin umat Islam.
Turut hadir ialah Pegawai Daerah Lundu, Zulkarnain Ismail, serta Ketua Polis Daerah Lundu, Superintenden Sudirman Kram.
Program seumpama ini bukan sahaja memperkukuhkan kefahaman umat Islam terhadap peristiwa penting dalam sejarah Islam, malah berperanan sebagai platform mempererat ukhuwah, memupuk kesedaran rohani dan memperkasa nilai-nilai keagamaan dalam kalangan masyarakat setempat di Lundu.
Disediakan oleh:
Mary Antionette
Jamsari Ahamad
UKAS Daerah Lundu