UKAS & J-KOM Perkukuh Sinergi Strategik Komunikasi Awam
KUCHING: Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol menerima kunjungan hormat daripada Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Dato’ Ismail Yusop serta rombongan di Ibu Pejabat UKAS, pada Khamis.
Pertemuan itu menjadi platform penting dalam memperkukuh sinergi strategik komunikasi awam antara kerajaan negeri dan persekutuan selain menjadi ruang perkongsian pandangan mengenai isu-isu semasa yang memberi kesan kepada landskap komunikasi awam, selain membincangkan pendekatan bersepadu dalam memastikan penyampaian maklumat yang tepat, berfakta dan berkesan kepada masyarakat.
Dalam sesi berkenaan, Datuk Abdullah berkongsi perkembangan terkini melibatkan kemajuan serta pelaksanaan pelbagai inisiatif dan projek strategik di Sarawak, selari dengan aspirasi negeri ke arah pembangunan mampan dan kesejahteraan rakyat.
Kedua-dua pihak turut membincangkan cabaran komunikasi dalam landskap media yang dinamik serta menekankan pendekatan kolaboratif bagi menangani maklumat tidak tepat dan memperkukuh keyakinan awam terhadap dasar serta inisiatif kerajaan.
Selain itu, perbincangan turut memberi tumpuan kepada hala tuju dan strategi komunikasi tahun ini dengan penekanan terhadap pengukuhan ekosistem komunikasi awam yang inklusif, responsif dan berteraskan teknologi digital.
Hadir sama dalam kunjungan hormat itu Timbalan Ketua Pengarah (Komunikasi Komuniti) Suwadi Guliling, Pengarah UKAS Awang Putrayusrie Awang Redzuan, Pengarah J-KOM Zon Sarawak, Ajes Tuah, Timbalan Pengarah UKAS, Mohamed Faizal Shah Ali serta pegawai-pegawai lain.-EDISI UKAS