MBKS Lancar Video Muzik Tahun Baharu Cina 2026, Satukan Komuniti Pelbagai Kaum
KUCHING: Seni dan budaya terus menjadi jambatan penyatuan masyarakat apabila Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) melancarkan Video Muzik Tahun Baharu Cina 2026 yang menampilkan kerjasama bakat tempatan merentas kaum dan latar belakang.
Datuk Bandarnya, Dato Wee Hong Seng berkata, penerbitan video muzik tersebut bukan sekadar satu karya kreatif, sebaliknya mencerminkan realiti kehidupan harmoni masyarakat berbilang kaum di Kuching Selatan.
“Video muzik ini bukan hanya mengenai sambutan Tahun Baharu Cina, tetapi merupakan cerminan semangat perpaduan dan keharmonian yang telah lama menjadi identiti masyarakat di Kuching Selatan,” katanya ketika majlis pelancaran video berkenaan pada Jumaat.
Beliau menambah, penghasilan video muzik tersebut diterajui sepenuhnya oleh anak Sarawak dengan penglibatan penyanyi, penari serta penggiat seni tempatan yang datang daripada pelbagai latar belakang kaum.
“Kesemua individu yang terlibat merupakan bakat tempatan Sarawak yang bekerjasama dengan satu hati dan satu semangat. Kolaborasi ini melambangkan kekuatan yang lahir daripada perpaduan masyarakat berbilang kaum,” jelasnya.
Jelasnya, penglibatan komuniti Cina, Melayu serta Bumiputera dalam penghasilan video muzik itu menjadikannya satu simbol kebersamaan yang mencerminkan kehidupan seharian masyarakat Kuching.
“Apa yang menjadikan video ini lebih bermakna ialah penglibatan pelbagai kaum yang bersama-sama menyampaikan mesej keharmonian. Ini membuktikan bahawa perpaduan di Kuching Selatan bukan sekadar slogan, tetapi diamalkan dalam kehidupan seharian,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa penerbitan video muzik Tahun Baharu Cina 2026 ini merupakan tahun ketiga berturut-turut dilaksanakan oleh MBKS dan kini menjadi satu tradisi yang dinanti-nantikan oleh masyarakat setempat.
“Selama tiga tahun berturut-turut, MBKS menggunakan seni dan kreativiti sebagai medium untuk memupuk persefahaman, nilai saling menghormati serta hubungan yang lebih erat dalam kalangan komuniti,” ujarnya.- EDISI UKAS