MBKS Komited Sediakan Ruang Rekreasi Selamat & Mesra Kanak-Kanak
KUCHING: Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) menyerahkan tapak projek kepada kontraktor bagi kerja-kerja naik taraf lantai keselamatan taman permainan di Taman Kuching, sebagai langkah berterusan memastikan kemudahan awam yang lebih selamat, lestari dan mesra komuniti.
Datuk Bandarnya, Dato Wee Hong Seng berkata, projek tersebut mencerminkan komitmen MBKS dalam memperkukuh keselamatan ruang awam, khususnya untuk kanak-kanak, keluarga dan warga emas.
“Projek ini merupakan satu langkah penting bagi memastikan taman awam kita kekal selamat, mampan dan menyeronokkan untuk semua, terutamanya kanak-kanak yang menggunakan kemudahan ini setiap hari,” katanya ketika ditemui pada majlis penyerahan tapak projek berkenaan di sini pada Jumaat.
Beliau berkata, pelaksanaan projek ini selari dengan Inisiatif Bandar Mesra Kanak-Kanak (CFCI) MBKS yang menekankan keperluan menyediakan persekitaran bandar yang inklusif, selamat dan menyokong kesejahteraan semua lapisan masyarakat.
“Kami bukan sahaja menaik taraf infrastruktur fizikal, tetapi turut memperkukuh tanggungjawab kami terhadap keselamatan kanak-kanak, kesejahteraan komuniti serta penjagaan alam sekitar,” jelasnya.
Tambahnya, projek itu merupakan sebahagian daripada Pelan Tindakan CFCI MBKS di bawah Tema 4: Every Child Participates, khususnya Hasil 4 yang memberi tumpuan kepada penyertaan kanak-kanak dalam persekitaran bandar hijau dan mesra keluarga.
Antara skop utama kerja naik taraf ialah penggantian lantai getah sedia ada yang telah uzur dengan permukaan keselamatan baharu yang mampu menyerap impak, menggunakan granul getah SBR (Styrene-Butadiene Rubber) daripada bahan kitar semula.
Apbila siap kelak, taman permainan tersebut dijangka menyediakan ruang rekreasi yang lebih selamat, mesra alam dan inklusif, sekali gus menyokong aspirasi MBKS untuk memastikan setiap kanak-kanak dapat bermain, berinteraksi dan membesar dalam persekitaran bandar yang selamat serta kondusif.-EDISI UKAS