Kerajaan Sarawak Rancang Bina Pejabat Daerah Dalat Baharu, Sedia Kuarters Penjawat Awam
OYA: Kerajaan Sarawak merancang pembinaan sebuah Pejabat Daerah Dalat yang baharu bagi menyediakan persekitaran kerja yang lebih kondusif serta menyokong kelancaran pentadbiran di daerah berkenaan.
Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki berkata, selain pembinaan pejabat daerah, kemudahan sokongan lain turut diberi perhatian termasuk penyediaan kuarters kerajaan untuk penjawat awam.
"Tapak pembinaan kuarters kerajaan di Dalat telah dikenal pasti dan hanya menunggu pelaksanaan pembinaan.
“Insya-Allah, kuarters ini akan menempatkan pegawai-pegawai kerajaan yang bertugas di Dalat dan Oya serta boleh digunakan oleh mereka dari Persekutuan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa mengadakan lawatan rasmi ke Bahagian Mukah, di Galeri Warisan Melanau Oya, di sini, pada Jumaat.
Dalam perkembangan lain, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar turut menyifatkan Galeri Warisan Melanau Oya sebagai sebuah lokasi berpotensi untuk dibangunkan sebagai ikon serta destinasi pelancongan di daerah kecil berkenaan.
Menurutnya, beliau telah diberi taklimat berhubung perkembangan serta pengoperasian galeri tersebut dan mendapati ia mempunyai potensi besar untuk menarik kunjungan pelancong.
Tambah beliau, perancangan Fasa Kedua bagi galeri berkenaan telah diluluskan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg dan akan ditender dalam masa terdekat sebelum kerja-kerja pembinaan dimulakan.
Hadir sama, Residen Bahagian Mukah Datu Kueh Lei Poh, Timbalan Residen Bahagian Mukah Shafrie Saili, Temenggung Hendi Suhai, Pegawai Daerah Dalat Mathew Hubert dan Penolong Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Kecil Oya Siti Hawa Zainalabidin.- EDISI UKAS