Mangsa Kebakaran Rumah Austine Ikau Nanga Sipan Terima Bantuan Wakil Rakyat
SONG: Mangsa kebakaran Rumah Austine Ikau, Nanga Sipan menerima bantuan dan sokongan daripada wakil rakyat pada Sabtu, dalam usaha meringankan beban mereka susulan insiden kebakaran yang berlaku baru-baru ini.
Menteri Kerja Raya Malaysia merangkap Ahli Parlimen Kapit Dato’ Sri Alexander Nanta Linggi telah menyampaikan bantuan kewangan berjumlah keseluruhan RM145,000 kepada 29 pintu mangsa kebakaran berkenaan.
Selain itu, beliau turut menyerahkan Geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) kepada dua persatuan dengan peruntukan keseluruhan RM15,000 bagi menyokong pelaksanaan aktiviti kemasyarakatan di kawasan tersebut.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Katibas, Lidam Assan turut menyampaikan bantuan kewangan kepada 29 pintu mangsa kebakaran Rumah Austine Ikau dengan jumlah keseluruhan RM29,000.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Katibas Lidam Assan juga menyampaikan bantuan kepada Mangsa Kebakaran 29 pintu RH.Austine Ikau berjumlah keseluruhan RM29,000.00.
Beliau juga menyerahkan geran MRP kepada lapan persatuan dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) melibatkan peruntukan berjumlah RM44,845.
Kedua-dua wakil rakyat menasihatkan mangsa kebakaran agar bersabar menghadapi musibah yang menimpa serta menggunakan bantuan yang diterima dengan sebaiknya, khususnya bagi memenuhi keperluan asas terlebih dahulu.
Mereka turut memaklumkan bahawa usaha akan terus dilakukan bagi membantu mangsa terlibat dalam proses pembinaan rumah panjang baharu pada masa akan datang.
Bagi penerima geran MRP pula, mereka dinasihatkan agar menggunakan peruntukan yang diterima secara berhemah bagi melaksanakan aktiviti yang dirancang, di samping memastikan laporan penggunaan dana disediakan dan dikemukakan kepada Pusat Khidmat sebagai rekod dan pemantauan.
Pada majlis sama, kedua-dua wakil rakyat turut menyerahkan sumbangan peralatan berupa pam air mudah alih dan hos kepada Bomba Sukarela Daerah Song bagi memperkukuh tahap kesiapsiagaan menghadapi sebarang kecemasan.
Turut hadir ialah Residen Bahagian Kapit Elvis Didit, Pegawai Daerah Song Harry Bruce Edwin, Setiausaha Politik Kepada Menteri Kerja Raya Ambrose Abong Bugek, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Watson Awan dan Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Paulus Dandee.-EDISI UKAS