Kakus Terima RM323,000 MRP Untuk Pembangunan Komuniti
TATAU: Sebanyak RM323,000 Geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) telah diagihkan kepada 21 JKKK dan persatuan di kawasan DUN N60 Kakus, sebagai usaha memacu pembangunan sosioekonomi dan kesejahteraan penduduk luar bandar.
Majlis penyerahan peruntukan di Pejabat Daerah Tatau disempurnakan oleh Dato Sri John Sikie Tayai, Menteri di Jabatan Premier Sarawak, dengan kehadiran Winnie Dian, Timbalan Pegawai Daerah Tatau.
Dato Sri John menegaskan, peruntukan ini bertujuan menyokong projek komuniti yang memberi manfaat langsung kepada penduduk, termasuk penambahbaikan kemudahan asas dan pembangunan sosioekonomi.
Sebanyak RM140,000 disalurkan kepada St. Maria Chapel, Rumah Balis, manakala RM250,000 diperuntukkan kepada Gereja St. Paul, Lubok Kubong untuk penambahbaikan kemudahan keagamaan.
Beliau menekankan bahawa kerajaan negeri komited menyampaikan bantuan secara inklusif tanpa mengira agama dan kaum, serta menyeru penerima dana menguruskan peruntukan dengan telus, berintegriti, dan bertanggungjawab.
Kerajaan negeri juga meluluskan peningkatan elaun Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) berkuat kuasa Januari 2026, dengan syarat lantikan baharu sekurang-kurangnya tamat Tingkatan Lima atau setaraf.
Winnie Dian turut menekankan agar laporan pelaksanaan projek dikemukakan kepada Pejabat Daerah Tatau dan Pusat Khidmat bagi tujuan pemantauan.
Langkah ini diharap dapat memperkukuh pembangunan komuniti dan tadbir urus kampung di Kakus, sekali gus meningkatkan kesejahteraan penduduk luar bandar. — EDISI UKAS