Dua Rumah Panjang Bakal Nikmati Infrastruktur Baharu Menerusi RTP 2025
SARIKEI: Dua buah rumah panjang di kawasan Parlimen Sarikei bakal menikmati kemudahan infrastruktur yang lebih baik menerusi pelaksanaan projek menaik taraf jalan di bawah peruntukan Program Transformasi Luar Bandar (RTP) 2025.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi merangkap Ahli Parlimen Sarikei, Dato’ Sri Huang Tiong Sii, berkata pelaksanaan inisiatif tersebut bertujuan meningkatkan tahap keselamatan serta keselesaan penduduk setempat.
“Kerajaan sentiasa memberi keutamaan kepada keperluan asas rakyat di kawasan luar bandar, khususnya dari segi penyediaan kemudahan infrastruktur.
"Melalui peruntukan RTP 2025 ini, saya berharap projek menaik taraf jalan di hadapan rumah panjang dapat meningkatkan keselamatan, keselesaan serta memudahkan urusan harian penduduk,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diwakili Wong Soon Mee pada majlis penyerahan tapak projek serta lawatan tapak ke dua buah rumah panjang di Sungai Kijang, Bintangor, di sini, baru-baru ini.
Menurut beliau, skop utama projek adalah menaik taraf jalan tanah kepada jalan konkrit di kawasan halaman hadapan rumah panjang bagi memperbaiki keadaan laluan sedia ada, melancarkan pergerakan penduduk serta meningkatkan tahap keselamatan dan keselesaan, terutamanya ketika musim hujan.
Antara rumah panjang yang terlibat ialah Rumah Panjang Anthony anak Muling yang mempunyai sembilan pintu serta Rumah Panjang Nealy anak Baja dengan 16 pintu.
Dalam lawatan tersebut, pasukan perkhidmatan Tiong Sii serta Penolong Jurutera Majlis Daerah Meradong dan Julau (MDMJ), Churchill, turut meninjau keadaan semasa laluan yang terlibat serta menyaksikan majlis penyerahan tapak projek kepada pihak kontraktor.
Pada masa yang sama, penduduk rumah panjang yang terlibat menzahirkan penghargaan atas keprihatinan dan tindakan pantas wakil rakyat tersebut dalam meluluskan projek berkenaan, yang diyakini mampu meningkatkan kualiti hidup penduduk serta mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan dalam menjaga kebajikan masyarakat luar bandar. -EDISI UKAS