Samarahan Boulevard Pemangkin Transformasi Menyeluruh Kota Samarahan
KOTA SAMARAHAN: Pembangunan Samarahan Boulevard disifatkan sebagai satu inisiatif berwawasan jauh yang menjadi pemangkin kepada transformasi menyeluruh bahagian berkenaan.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pemandu Agensi Pembangunan Bersepadu Wilayah Samarahan (IRSDA) Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, pembangunan ini juga sekali gus meletakkannya sebagai hab pertumbuhan strategik baharu negeri dalam jangka masa panjang.
Menurutnya, pembangunan pesat yang dinikmati hari ini merupakan hasil perancangan jangka panjang kepimpinan Sarawak sejak era terdahulu yang kini mula memperlihatkan impak ketara kepada kesejahteraan rakyat.
“Kalau dahulu daripada Muara Tuang ataupun Samarahan hendak pergi ke Kuching memakan masa berjam-jam. Hari ini dari Kuching ke Pekan ataupun bandar Samarahan atau Muara Tuang hanya makan masa 20 minit dan dengan perancangan yang ada daripada Allahyarham Pehin Sri Tun Taib kepada Allahyarham Tok Nan dan yang amat berhormat Premier pada masa ini, perancangan yang begitu hebat sekali.
"Saya sendiri pun melihat dengan jenis rancangan yang kita ada di Samarahan. It will tell the power yang akan membawa Samarahan ke satu mercu yang lebih besar lagi," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Pecah Tanah Samarahan Boulevard yang disempurnakan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg pada Sabtu.
Beliau menambah, kemajuan jaringan infrastruktur yang ketara telah meletakkan Samarahan pada landasan pembangunan yang kukuh dan berdaya saing.
Jelasnya, pembangunan Samarahan Boulevard bukan sahaja dirancang sebagai ruang riadah dan pertemuan sosial, malah turut berfungsi sebagai lokasi penganjuran acara serta majlis berskala besar pada masa hadapan sejajar dengan keperluan jangka panjang negeri.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan prestasi pelaksanaan pembangunan di Bahagian Samarahan terus menunjukkan kemajuan memberangsangkan apabila IRSDA telah melaksanakan sebanyak 637 projek pembangunan di seluruh bahagian tersebut.
"Daripada jumlah itu, sebanyak 508 projek telah siap pada kadar 80 peratus sekaligus mencerminkan tahap pelaksanaan dan pemberangsangan komitmen berterusan Kerajaan Sarawak," katanya.-EDISI UKAS