Bantuan Makanan Kering Terus Disalurkan Kepada Mangsa Banjir Pantu
PANTU: Penyaluran bantuan makanan kering kepada penduduk terjejas banjir diteruskan di sekitar Daerah Pantu melibatkan beberapa kawasan kampung dan rumah panjang.
Program bantuan ini dilaksanakan bagi meringankan beban penduduk susulan kesan cuaca tidak menentu serta musim Monsun Timur Laut (MTL).
Operasi penyaluran telah digerakkan secara berperingkat melibatkan tiga pasukan utama, dengan pengambilan bekalan makanan kering dibuat di beberapa lokasi pembekal yang telah ditetapkan.
Pasukan A dengan menggunakan
pengangkutan KAD telah mengambil bekalan di Aldi Supermarket (CHL) bermula jam 10.00 pagi dan menyalurkan bantuan ke 11 buah rumah panjang dan kampung sekitar kawasan Empaling, Keranggas, Muding, Tuba, Tabong Baru, Ipoh Ili dan Ragai Baru dengan jumlah keseluruhan 495 pek makanan kering.
Sementara itu, Pasukan B yang menggunakan pengangkutan APM dan PDRM telah mengambil bekalan di Chop Poh Hing pada jam 9.30 pagi dan kemuadiannya menyalurkan bantuan ke kawasan sekitar Tuba, Ipoh dan Jaong Jaya melibatkan 400 pek makanan kering.
Manakala Pasukan C pula melibatkan pengangkutan PDRM, BOMBA dan JKM telah mengambil bekalan di Norjahan General Trading pada jam 9.30 pagi dan menyalurkan bantuan ke kawasan Tabong, Menangkin Ili, Semawa Ili, Sapak Bubong dan Muding dengan jumlah 297 pek makanan kering.
Secara keseluruhan, operasi penyaluran bantuan pada hari ini melibatkan kekuatan anggota seramai 47 orang terdiri daripada PDRM, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), KAD, UKPS, PDP, BOMBA dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Pihak Pejabat Daerah Pantu merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua agensi yang terlibat atas komitmen dan kerjasama yang diberikan dalam memastikan bantuan sampai kepada golongan sasar dengan lancar dan teratur. -EDISI UKAS