Kerajaan Sarawak Terus Perkasa Program Pembasmian Kemiskinan Bandar di Lawas
LAWAS: Kerajaan Sarawak terus komited dalam memperkukuh usaha pembasmian kemiskinan bandar menerusi penambahbaikan perumahan dan penyediaan infrastruktur asas demi kesejahteraan rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, kawasan yang terlibat merupakan Skim Penempatan Fasa 4, iaitu skim lama yang dibangunkan oleh Jabatan Tanah dan Survei (JTS) dengan spesifikasi terdahulu, sekali gus berdepan beberapa kekangan termasuk jalan rosak, paip air pecah serta bekalan elektrik yang masih belum dilaksanakan sepenuhnya.
“Bagi bekalan elektrik, pihak JTS telah membuat bayaran kepada ECB dan hasil perbincangan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Bahagian, kerja-kerja pelaksanaan dijangka dimulakan dalam tempoh dua minggu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan Lawatan Kerja ke Tapak Program Pembasmian Kemiskinan Bandar di Banting, Lawas pada Sabtu.
Datuk Amar Awang Tengah menambah, skim lama hanya melibatkan penyediaan infrastruktur asas seperti jalan tanah, parit tanah serta bekalan air dan elektrik, berbeza dengan skim baharu seperti Skim Penempatan Kekal (SPK) yang menggunakan spesifikasi lebih baik termasuk jalan berturap atau konkrit serta kemudahan utiliti yang lebih lengkap.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa Kerajaan Sarawak telah memutuskan supaya bayaran premium dikurangkan kepada sekitar RM2,500 dan boleh dibayar secara ansuran, manakala pemilihan penerima lot dibuat melalui jawatankuasa khas bagi memastikan hanya mereka yang layak menerima manfaat.
Beliau turut menegaskan bahawa sebarang urusan jual beli lot adalah tidak dibenarkan, dan sebarang pemindahan hak milik kepada ahli keluarga perlu dibuat melalui permohonan rasmi kepada JTS.
Tambahnya, sehingga kini sebanyak 20 unit rumah baharu telah dibina dengan kerjasama Majlis Daerah, manakala melalui Pejabat Daerah, 28 unit rumah baharu telah dibina dan 26 unit rumah dibaik pulih, selain tujuh unit rumah menerima bantuan susulan kejadian kebakaran.
Dalam lawatan sama, Datuk Amar Awang Tengah turut meninjau tapak pembinaan surau baharu di Kampung Banting yang telah tergendala lebih setahun dan menegaskan supaya pihak kontraktor mempercepatkan kerja-kerja pembinaan bagi memastikan surau tersebut dapat digunakan oleh penduduk dalam masa terdekat.-EDISI UKAS